- Iklan -
Berita

Aktivis, kumpulan sivil ‘kunci mulut’ selepas Azam Baki dilantik semula

Beberapa ahli politik yang lantang dan tidak senang hati dengan pengurusan Azam mengendalikan SPRM menjelang pilihan raya tahun lalu juga senyap.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunjuk perasaan memegang potret Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dengan tangan bergari sewaktu perhimpunan #TangkapAzamBaki di Bangsar, 22 Januari 2022.
Seorang penunjuk perasaan memegang potret Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dengan tangan bergari sewaktu perhimpunan #TangkapAzamBaki di Bangsar, 22 Januari 2022.

Sebahagian besar aktivis dan kumpulan pendesak yang sebelum ini “bermati-matian” menuntut peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berdiam diri selepas beliau dilantik semula memegang jawatan tersebut.

Ini mencetuskan persoalan berhubung pendirian kumpulan masyarakat sivil, aktivis dan ahli-ahli politik yang sebelum ini menuntut peletakan jawatan Azam yang sebelum ini berdepan dengan kontroversi peribadi dan siasatan terpilih terhadap pemimpin politik pembangkang termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan reaksi dan ulasan badan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan ahli politik gagal apabila rata-rata mereka enggan menjawab pertanyaan dan panggilan telefon.

Mereka yang dihubungi ialah antara ratusan peserta demonstrasi jalanan dikenali sebagai #TangkapAzamBaki pada Januari tahun lalu susulan kontroversi beliau memiliki antara RM1.9 juta hingga RM2.9 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2016.

Ia turut melibatkan beberapa ahli politik pembangkang seperti Anwar Ibrahim sendiri selain pemimpin PKR, DAP, Muda dan Pejuang.

Pada Rabu, media melaporkan pelantikan semula Azam adalah untuk tempoh selama setahun dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sehingga kini, beberapa ahli politik yang lantang dan tidak senang hati dengan pengurusan Azam mengendalikan SPRM menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu juga belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai lantikan semula Azam di Putrajaya.

Antaranya, Rafizi Ramli menerusi kempen PRU15 dilapor membuat kenyataan berbaur ugutan terhadap Azam susulan dakwaannya berhubung serbuan SPRM ke atas syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd, termasuk menahan kakitangannya selama tujuh jam.

"Esok kita jumpa di mahkamah, lusa satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi.

“Lepas menang pilihan raya kami cari Azam, insya-Allah. Saya tahu Azam tengok ini! Saya harap bila PH menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi," katanya dipetik dari salah satu siri ceramah kempen PRU15.

Bagaimanapun, selepas menjawat jawatan menteri, Rafizi pada Disember lalu menafikan dakwaan mengugut untuk “mencari” Azam jika Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

Selain itu, empat ahli Parlimen yang pernah dipanggil polis kerana terlibat dalam protes jalanan itu tahun lalu juga belum membuat sebarang kenyataan mengenai pelantikan tersebut.

Antaranya Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Teresa Kok (Seputeh).

Azam disiasat berhubung dakwaan pembelian saham dan waran pada 2015 serta 2016 di dua syarikat tersenarai awam.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pembelian saham itu dibuat adiknya yang menggunakan akaun Perkhidmatan Depositori Pusat (CDS) miliknya. Ini sekali gus menafikan beliau melakukan sebarang kesalahan.

Isu itu didedahkan oleh bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Lalitha Kunaratnam.

Pada Januari tahun lepas, Azam telah memfailkan saman fitnah terhadap Lalitha berhubung artikel aktivis tersebut yang disiarkan portal berita Independent News Service pada 15 Disember 2021.

Perbicaraan dijadualkan berlangsung pada Julai ini.

Sepanjang menerajui SPRM, agensi antirasuah itu membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Bersatu Wan Saiful Wan Jan tahun ini. 

Suruhanjaya itu turut membekukan beberapa akaun bank milik Bersatu berhubung dakwaan penyelewengan dana yang digunakan kerajaan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Azam memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) sejak tahun 1984.

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai penolong pegawai siasatan, selain pernah berkhidmat sebagai pegawai perisikan, pegawai pendakwaan, selain menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020, menggantikan Latheefa Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Azam memegang jawatan itu ketika pentadbiran tiga perdana menteri iaitu Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.

Sementara itu, Pengerusi Bersih Thomas Fann pula menyifatkan Anwar yang kini perdana menteri terlepas peluang keemasan untuk keluar dari konvensyen menukar bos SPRM setiap kali pertukaran kerajaan berlaku.

Fann berkata dengan melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam, beliau hanya mengekalkan dan memperkukuhkan fakta bahawa perdana menteri mempunyai budi bicara dan pengaruh mutlak terhadap proses pelantikan.

“Disebabkan itu terdapat tuduhan oleh sesetengah pihak bahawa SPRM tidak bebas dan bersenjata terhadap lawan politik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebaliknya, Fann menegaskan Anwar sepatutnya merujuk urusan pelantikan jawatan itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Ini juga dalam usaha memastikan sebarang persepsi campur tangan perdana menteri dalam kerja SPRM dapat dihapuskan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.