- Iklan -
Berita

SKMM akan kaji peraturan kendiri aplikasi, platform media sosial

Ia susulan peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi penjenayah dan yang ingin mengancam keselamatan awam dan keharmonian negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita melihat telefonnya ketika berjalan melalui kawasan Masjid Jamek di Pusat Bandar Kuala Lumpur.
Seorang wanita melihat telefonnya ketika berjalan melalui kawasan Masjid Jamek di Pusat Bandar Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata pihaknya akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada ekoran berlakunya peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi oleh penjenayah dan mereka yang cuba mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara. 

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, terdapat beberapa aplikasi Over-The-Top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara.

"Justeru, tindakan kawal selia yang lebih ketat dan campur tangan oleh pihak pengawal selia adalah diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam," kata Pengerusi MCMCMohamad Salim Fateh Din.

“SKMM tidak akan berkompromi dengan perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian ataupun kemudahan dalam talian untuk tujuan scam, aktiviti siber yang berniat jahat, penipuan, phishing, kandungan yang menggugat kestabilan dan keharmonian kaum, serta penghinaan terhadap institusi Diraja.

"Kami akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang."

Tambah beliau, suruhanjaya itu akan bekerjasama dengan polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk memerangi aktiviti penipuan itu.

MCMC berkata, kebimbangan tersebut berbangkit selepas hasil pemerhatian yang dijalankan mendapati, jumlah kes penipuan menunjukkan peningkatan, dengan sejumlah 11,858 aduan berkaitan penipuan diterima setakat April sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022.

“Perangkaan yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM bagi tempoh antara 2021 sehingga April mendedahkan, jumlah kerugian akibat scam mencecah sehingga RM1.2 bilion.

“Bagi tempoh yang sama juga, jumlah berita palsu yang dilaporkan kepada MCMC adalah sebanyak 2,125. Selepas meneliti bilangan kes penyalahgunaan dan ancaman yang ditimbulkan akibat sikap lepas tangan oleh penyedia platform

Suruhanjaya itu berkata kewajipan ini termasuk mengenakan serta menguatkuasakan kewajipan terhadap mereka yang mengendalikan platform sedemikian dan pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi untuk mengambil “langkah-langkah tegas” bagi memastikan platform atau rangkaian kendalian mereka tidak digunakan sebagai forum untuk melanggar undang-undang negara ataupun mengancam kepentingan awam. 

“MCMC sebagai badan kawal selia industri tertumpu di Malaysia, akan turut mengkaji semula pendekatan kawal selia untuk melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada. 

“Ini termasuklah kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti yang enggan mengambil langkah-langkah segera bagi memastikan aktiviti-aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan.