- Iklan -
Berita

Kami failkan rayuan berkait kalimah 'Allah' atas titah Raja-raja Melayu, kata bekas mufti

Zulkifli Mohamad al-Bakri yang berkhidmat sebagai menteri hal ehwal agama pada 2021 berkata kerja keras dilakukan oleh pakar Islam sebelum rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Umat Islam duduk mendengar Khutbah sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, 1 April 2022.
Umat Islam duduk mendengar Khutbah sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, 1 April 2022.

Bekas mufti Wilayah Persekutuan bersuara selepas Putrajaya memutuskan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah, mengatakan keputusan kerajaan pada 2021 untuk mencabar keputusan itu adalah berdasarkan titah Sultan Selangor dan Johor. 

Zulkifli Mohamad al-Bakri turut mengingatkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), sebuah badan yang ditugaskan mengeluarkan fatwa peringkat kebangsaan melalui perundingan dengan raja-raja Melayu, pada 2008 memutuskan bahawa "Allah", "baitullah", "Kaabah" dan "solat" merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama Islam.

“Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para Ashabus Samahah Mufti serta Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO, dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik,” kata Zulkifli yang merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam ketika rayuan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021.

“Ia dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah Allah, baitullah, Kaabah dan solat kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia. Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri dimulakan.”

Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah bersama tiga perkataan Arab lain – Baitullah, kaabah dan solat – dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Ia sekali gus membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh penganut agama Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill, yang mempertikaikan undang-undang mengenai perkara itu bermula 13 tahun lalu.

Bagaimanapun, Putrajaya membuat rayuan, mengatakan ia "tidak berpuas hati" dengan keputusan itu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dipetik sebagai berkata hari ini mengesahkan bahawa kementeriannya memutuskan untuk menarik balik rayuan itu, sambil menambah notis telah dihantar kepada Kabinet beberapa bulan lalu.

"Ia adalah pendirian yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri, dan saya sudah memaklumkan kepada Kabinet, yang saya lakukan beberapa bulan lalu," katanya dipetik oleh The Malay Mail.

Sementara itu, Zulkifli, yang memetik ayat al-Quran tentang memohon pertolongan dari Allah, berkata beliau berharap "kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri" akan dapat menjelaskan keputusan terbarunya.