- Iklan -
Berita

Peruntukan, sumbangan kerajaan untuk kebaikan rakyat bukan rasuah, kata KP J-KOM

Katanya, ia dibuat berdasarkan kepada batasan kewangan dan bajet yang telah diluluskan kerajaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff. Gambar: Bernama

Setiap peruntukan atau sumbangan yang diumumkan kerajaan di peringkat negeri, tidak sama sekali bertujuan untuk 'beli undi' atau rasuah, sebaliknya ia demi kebaikan rakyat, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff.

Beliau berkata sebarang peruntukan atau sumbangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibuat berdasarkan kepada batasan kewangan dan bajet yang telah diluluskan kerajaan. 

"Mengumumkan peruntukan ke tempat yang perdana menteri pergi, kepada negeri-negeri baik di negeri pembangkang atau negeri di bawah pimpinan kerajaan Persekutuan... kalau ia projek untuk tingkatkan taraf hidup rakyat, tingkatkan pembangunan negeri, dan memenuhi keperluan rakyat, apakah itu rasuah?

"Rasuah ni bila anda beri sesuatu dan harapkan pulangan semula dalam bentuk undi. Orang nak pergi mengundi, anda bagi duit untuk undi parti berkenaan, itu baru namanya rasuah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Ikon Madani peringkat negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus, hari ini.

Agus berkata di Kelantan misalnya, perdana menteri baru-baru ini mengumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat di negeri itu terutamanya berkait isu tebatan banjir dan bekalan air bersih yang sudah lama berlarutan.   

"Kami di J-KOM akan giatkan lagi aktiviti dan bergerak ke hadapan dan saya sendiri akan keluar memberi penerangan tentang dasar kerajaan dan apa itu Malaysia Madani," katanya. 

Terdahulu, beberapa pengumuman peruntukan projek dan sumbangan yang dibuat Anwar terutamanya sewaktu siri jelajah Rumah Terbuka Madani mengundang kritikan beberapa pihak di media sosial yang melihat tindakan Ahli Parlimen Tambun itu sebagai tersasar daripada prinsipnya sebelum menjawat jawatan tertinggi kepimpinan negara itu. 

Jelajah Ikon Madani yang merupakan anjuran bersama antara J-KOM dan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) berperanan menjelaskan serta mempertahankan dasar kerajaan, selain menghubungkan kerajaan dengan mahasiswa dan rakyat.

UMT merupakan universiti awam ketiga dikunjungi Jelajah Ikon Madani selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, Negeri Sembilan dan Universiti Malaysia Kelantan.

Siri jelajah itu selepas ini dijadualkan akan menuju ke Universiti Utara Malaysia di Kedah, disusuli UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang sebelum berakhir di UiTM Shah Alam, Selangor. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.