- Iklan -
Berita

Ibu tunggal rayu keputusan mahkamah tolak permohonan batal tukar agama anak

Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu berhenti menganut agama Islam apabila berada di bawah jagaan ibu mereka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jalur Gemilang berkibar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama
Jalur Gemilang berkibar di luar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama

Ibu tunggal, Loh Siew Hong memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral tanpa persetujuannya oleh bekas suaminya.

Loh memfailkan notis rayuan itu hari ini, menerusi Tetuan Srimurugan & Co selepas tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 11 Mei lepas.

Dalam penghakimannya, Wan Ahmad Farid berkata tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu berhenti menganut agama Islam apabila berada di bawah jagaan ibu mereka.

Wan Ahmad Farid berkata Loh tidak menafikan bahawa anak-anaknya terus mengamalkan ajaran Islam dengan menunaikan solat subuh setiap hari apabila mereka berada dalam jagaannya dan tiada bukti menunjukkan ketiga-tiga anak wanita itu telah kembali ke agama Hindu.

Hakim itu berkata sijil penukaran agama dikeluarkan terhadap kanak-kanak tersebut selepas responden pertama iaitu Pendaftar Mualaf Negeri Perlis berpuas hati bahawa keperluan undang-undang di bawah Seksyen 107(1) Enakmen Perlis 2006 dipatuhi apabila kanak-kanak itu telah mengisytiharkan syahadah dengan rela hati. 

Loh, 36, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac tahun lepas dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Ibu tunggal itu memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran, tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

Wanita itu juga memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya itu, sebagai kanak-kanak, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenarannya.

Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan pemelukan agama Islam, bertarikh 7 Julai 2020, yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Perlis atas nama tiga anaknya, dan juga kad lain mengenai pemelukan agama Islam yang telah dikeluarkan oleh pihak lain, dan juga menghalang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kad tersebut.

Tiga kanak-kanak itu, kembar perempuan berusia 15 tahun dan lelaki berusia 11 tahun yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudiannya diserahkan kepada Loh pada 21 Februari 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.