- Iklan -
Berita

Pembangunan wilayah tidak boleh berteraskan parti politik, kata penganalisis

Asyraf Farique berkata sepatutnya tidak wujud dikotomi pembangunan mengikut parti politik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Terowong ECRL Genting sepanjang 16.39km sedang dalam pembinaan untuk perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dan Kota Bharu, Kelantan.
Terowong ECRL Genting sepanjang 16.39km sedang dalam pembinaan untuk perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dan Kota Bharu, Kelantan.

Persoalan timbul mengenai tindak-tanduk kerajaan berhubung beberapa projek mega yang sedang dirancang di negara ini, antaranya projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, LRT Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Ini kerana ada antara projek itu dibiayai sendiri menggunakan wang kerajaan manakala ada yang masih menunggu kelulusan kerajaan pusat. 

Justeru itu seorang penyelidik berkata pembangunan wilayah-wilayah di negara ini tidak boleh dilakukan mengikut parti pemerintah yang mentadbir sesuatu negeri.

Asyraf Farique daripada Institut Iris berkata, sebaliknya ia harus dinilai mengikut keperluan.

"Seharusnya tidak wujud dikotomi pembangunan wilayah berteraskan parti sebaliknya apa yang perlu dilihat adalah pembangunan Malaysia," katanya kepada MalaysiaNow.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM10 bilion kepada Pulau Pinang untuk membangunkan sistem pengangkutan awam itu manakala Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, projek HSR menarik minat beberapa syarikat swasta tempatan.

Projek KXP yang kini ditunjangi oleh kerajaan negeri Kedah bagaimanapun masih menunggu kelulusan kerajaan pusat.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata 18 firma berminat untuk membangunkan projek tersebut.

Sebelum ini, Loke dan Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin bertikam lidah di Dewan Rakyat berhubung status projek itu.

Azman turut meminta Anwar agar tidak bermain politik dalam soal pembangunan KXP. 

Menurut Asyraf, dana pembangunan yang diberikan berorientasikan keuntungan kepada rejim yang memerintah berbanding kepada pembangunan yang berorientasikan kemajuan rakyat.

Tambahnya, terdapat kesenjangan ekonomi yang tinggi di negeri-negeri bermajoriti orang Melayu yang perlu diambil kira.

"Di Pulau Pinang sendiri, pembangunan tertumpu di kawasan Pulau, mengakibatkan pembangunan tidak sekata di Pulau Pinang.

"Sepatutnya kerajaan membangunkan kawasan di Seberang Perai dan Batu Kawan sebelum menyokong usaha tambakan pulau yang akan mendatangkan banyak kemudaratan," katanya merujuk kepada projek tambakan laut di Pulau Pinang yang diluluskan kerajaan pusat baru-baru ini.

Asyraf yang mengkaji mengenai geopolitik ECRL dan HSR berkata, campur tangan taikun swasta terhadap projek awam dalam kes HSR mengakibatkan kepentingan awam tidak dapat dijaga sepenuhnya.

"Perancangannya akan menguntungkan taikun-taikun swasta," katanya.

HSR dibatalkan oleh Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi perdana menteri dengan Malaysia membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura.

Beliau mencadangkan agar projek yang pada asalnya menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura itu boleh menghubungkan selatan dan utara tanah air serta disambung ke Bangkok Thailand.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai kebolehlaksanaan KXP, Asyraf berkata, projek berkenaan mempunyai legitimasi memandangkan ia sebahagian daripada rancangan pembangunan koridor utara.

"Tetapi masih tidak nampak bagaimanapun mengeluarkan Malaysia dalam rantaian bekalan yang rendah terutama dalam sektor pembuatan (menerusi projek KXP),"

"Kebanyakan syarikat yang berminat juga adalah syarikat asing.

“Model ini tidak jauh beza dengan model di negeri Pulau Pinang dan lain-lain," katanya.