Bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin menjadi pemimpin terbaru mempersoalkan tindakan Putrajaya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan agama Kristian, ketika pemimpin kerajaan cuba mempertahankan langkah tersebut yang mencetuskan kemarahan sekumpulan umat Islam.
Ketua pembangkang itu merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengatakan keputusan kes penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran adalah khusus bagi negeri Sarawak.
Hamzah berkata, rampasan bahan keagamaan milik Jill itu berlaku di Selangor.
"Rampasan lapan cekera padat ajaran agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah pada 11 Mei 2008 itu berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, bukannya di Sarawak dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga relif certiorari, bukan hanya terhad kepada Sarawak," katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 dalam keputusannya mengesahkan hak Perlembagaan Jill untuk pendidikan dan mengamalkan agamanya, serta jaminan terhadap diskriminasi atas alasan agama.
Mahkamah itu juga mengisytiharkan larangan terhadap penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan keagamaan Kristian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.
Keputusan itu disusuli dengan rayuan yang difailkan oleh KDN, yang ketika itu diketuai oleh Hamzah di bawah kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.
Rampasan oleh KDN itu dilakukan di bawah Seksyen 9(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Hamzah mengingatkan Anwar sewaktu menjadi menteri, beliau bersama Allahyarham Ghafar Baba dan James Peter Ongkoli ditugaskan menganggotai Jawatankuasa Mengkaji Istilah/Perkataan Islam di Dalam Al-Kitab Yang Tidak Boleh Digunakan pada 1986.
"Sepatutnya beliau lebih faham tentang sensitiviti serta mudarat lebih besar dengan tidak membuat kenyataan mengelirukan begitu," tambahnya.
Hamzah berkata penjelasan Anwar kononnya keputusan mahkamah itu hanya terpakai di Sarawak menunjukkan perdana menteri cuai dan tidak meneliti penghakiman.
Mengulas ucapan Muhyiddin, Hamzah berkata pertikaian kalimah Allah harus dibawa ke mahkamah supaya sebarang keputusan muktamad harus dihormati.
"Persoalannya mengapa secara tiba-tiba kerajaan campuran PH-BN ini tidak mahu membenarkan proses perundangan dan kehakiman mengikut Perlembagaan itu mengambil tempat?
"Mengapa proses perundangan dan kehakiman itu dihalang dan mengapa menteri dalam negeri bertindak tanpa menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terlebih dahulu, sedangkan isu kalimah Allah ini amat-amat sensitif?" soal beliau.