- Iklan -
Berita

SKMM siasat aktivis selepas kritik lawatan PM ke Arab Saudi

Halimah Nasoha berkata catatannya di Facebook adalah atas dasar kritikan dan bukan penghinaan serta membuat komen yang adil dan berkepentingan awam.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Halimah Nasoha bercakap kepada wartawan selepas memberi keterangan berhubung dakwaan catatan yang dibuat pada akaun media sosialnya di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, 18 Mei.
Halimah Nasoha bercakap kepada wartawan selepas memberi keterangan berhubung dakwaan catatan yang dibuat pada akaun media sosialnya di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, 18 Mei.

Seorang aktivis dan pempengaruh media sosial Halimah Nasoha hari ini dipanggil memberi keterangan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan terhadap hantaran-hantaran di akaun Facebook yang dikendalikannya.

Bercakap kepada MalaysiaNow selepas dua jam memberi keterangan, Halimah memberitahu beliau disiasat SKMM susulan beberapa hantarannya sekitar bulan Mac lalu yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada mana-mana disebut khususnya nama pemimpin tersebut diletakkan dalam hantaran-hantaran berkenaan.

“Saya tidak pun membuat sebarang kenyataan yang direct atau secara langsung mengenai perdana menteri.

“Bagaimanapun saya membuat hantaran tersebut atas dasar kritikan dan bukan penghinaan di mana saya membuat komen yang adil dan sifat berkepentingan awam,” katanya di luar perkarangan pejabat SKMM, Cyberjaya.

Beliau yang hadir bersama peguamnya, Zaid Malek pada jam 10.15 pagi memberitahu dirinya tidak pernah dimaklumkan mengenai subjek siasatan oleh SKMM sehingga ianya didedahkan ketika sesi ambil keterangan yang bermula jam 11.25 pagi tadi.

Halimah Nasoha hadir bersama peguamnya, Zaid Malek di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, 18 Mei.
Halimah Nasoha hadir bersama peguamnya, Zaid Malek di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, 18 Mei.

Dalam pada itu, peguamnya memberitahu Halimah disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Zaid menegaskan sekiranya di pihak perdana menteri berasa tidak senang atau tidak berpuas hati terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh anak guamnya, beliau boleh menggunakan prosedur yang lebih adil dan mengikut lunas undang-undang.

“Tapi kenapa ada layanan istimewa? Seharusnya PM bukan menggunakan jentera SKMM untuk menyangkal (kenyataan).

“Boleh saman malu atau saman fitnah di mahkamah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau turut mempersoalkan pendirian kerajaan campuran terutamanya Pakatan Harapan (PH) yang sangat menentang penggunaan akta tersebut ketika berada di blok pembangkang kini menggunakan akta yang sama ketika mentadbir kerajaan.

“Kalau benar Kerajaan Madani ini adil dan mahu tegakkan hak asasi manusia, sepatutnya (siasatan) berhenti di sini sehingga betul-betul ada pertuduhan di mahkamah.

“Hentikan siasatan terhadap Halimah dan orang-orang lain juga.”

Sumber SKMM memberitahu MalaysiaNow, skop siasatan terhadap media sosial dipercayai dikendalikan Halimah dengan nama Yi Ma Nas melibatkan hantaran status beliau yang mengkritik lawatan Anwar ke Arab Saudi pada Mac lalu.

Peguam Zaid Malek mempersoalkan pendirian kerajaan campuran yang sangat menentang penggunaan Akta SKMM ketika berada di blok pembangkang tetapi menggunakan akta yang sama ketika mentadbir kerajaan.
Peguam Zaid Malek mempersoalkan pendirian kerajaan campuran yang sangat menentang penggunaan Akta SKMM ketika berada di blok pembangkang tetapi menggunakan akta yang sama ketika mentadbir kerajaan.

Pada 8 Mei, Halimah menerusi akaun Facebook tersebut berkongsi satu tangkap layar menunjukkan perbualan beliau dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai timbalan pengarah SKMM.

Dalam hantaran tersebut, Halimah menyifatkan beliau diugut oleh individu tersebut untuk hadir ke pejabat agensi tersebut jika tidak mahu tempat kerja atau kediamannya diserbu pihak berkuasa.

Bercakap mengenai hal itu, Halimah berkata beliau berasa terancam dan takut apabila mendapati kehadirannya ke ibu pejabat SKMM turut diiringi pegawai polis lengkap berpakaian seragam dan anggota unit cawangan khas (SB) selain individu yang bertindak memberi ugutan kepadanya, awal bulan lalu.

“Saya macam dilayan seperti pengganas seolah-olah saya melakukan jenayah yang amat berat.

“Beliau (pegawai SKMM) pun ada di sini dan minta saya padamkan hantaran tangkap layar itu.”

Kata Zaid, sehingga akhir sesi rakam keterangan yang berakhir tengah hari tadi, dilihat tiada indikasi anak guamnya akan dipanggil semula ke ibu pejabat tersebut.

“Tapi kita masih tak pasti apakah tindakan selanjutnya akan dibuat.”