- Iklan -
Berita

Subsidi bersasar diesel dijangka dilaksana tahun depan, kata menteri

Salahuddin Ayub berkata satu pangkalan data bersepadu sedang dipersiapkan bagi keberkesanan rancangan ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub. Gambar: Bernama

Pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub.

Beliau berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang melibatkan beberapa kementerian semalam bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu disiapkan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Katanya perbincangan itu melibatkan KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

“Kesemua kementerian ini melihat dan sedang menyiapkan satu pangkalan data bersepadu bagi proses penyelarasan data yang berkesan.

Semua agensi dan kementerian sudah ada pangkalan data masing-masing, cuma kita perlu selaraskan semuanya dan pastikan ia tepat dan berkesan apabila ia (subsidi bersasar diesel) dilaksanakan,” katanya. 

Salahuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2023  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pada Februari lepas, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan dilaporkan berkata kerajaan mampu memperoleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 tidak menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Sementara itu mengulas pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di Kelantan selepas projek rintis di Perlis, Salahuddin berkata projek itu bertujuan mengawal isu ketirisan dan penyeludupan diesel dan petrol di sempadan negara.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata KPDN kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di beberapa negeri lain selepas projek rintis dilaksanakan di Perlis.

Zahid berkata projek di bawah inisiatif Program Ekonomi Sempadan itu dapat menyelamatkan peruntukan subsidi minyak kerajaan, selain peluang untuk negara meningkatkan pendapatan melalui cukai jualan yang dikenakan terhadap kenderaan asing.

Projek itu kini dilaksanakan di Perlis iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian dan KPDN sedang di peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di Kelantan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.