- Iklan -
Berita

Komik kaitkan Coldplay dengan PAS satu provokasi, kata pemimpin

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin tidak menjelaskan sama ada parti itu akan membatalkan konsert berkenaan akan datang jika berkuasa.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Komik yang dilihat sebagai provokasi terhadap PAS berikutan respons terhadap konsert Coldplay yang dijadualkan diadakan di Malaysia November ini. Gambar: Facebook
Komik yang dilihat sebagai provokasi terhadap PAS berikutan respons terhadap konsert Coldplay yang dijadualkan diadakan di Malaysia November ini. Gambar: Facebook

PAS menganggap satu komik yang mengaitkan parti itu dengan konsert band British terkenal, Coldplay sebagai satu bentuk provokasi.

Komik yang dihasilkan oleh laman “dontbelikethatbro” memaparkan karakter seorang lelaki berpakaian hijau yang melambangkan PAS sedang beratur untuk membeli tiket.

Bagaimanapun, karakter tersebut tidak berjaya memperoleh tiket lalu ingin membatalkan konsert kerana tidak berpuas hati.

Komik itu dipercayai susulan kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Nasruddin Hassan yang menggesa kerajaan membatalkan konsert itu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin merujuk komik itu sebagai provokasi.

"Ini sumber provokasi," katanya ringkas kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Jerantut tidak menjelaskan pendirian PAS sama ada parti itu akan membatalkan konsert berkenaan jika berkuasa.

Coldplay dijadualkan membuat persembahan pada 22 November ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut membuat video mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock itu. 

Tiket persembahan dilaporkan sudah habis terjual dengan beberapa pihak menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini membantah konsert penyanyi terkenal Billie Eilish pada 2022 dengan mengancam untuk protes jika kerajaan tidak membatalkan konsert artis-artis Barat yang dijadualkan berlangsung di negara ini.

Pada 2016 parti Islam itu pernah membantah konsert Selena Gomez.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.