- Iklan -
Berita

Pendekatan baharu pastikan agihan subsidi bersasar lebih fokus, kata Rafizi

Pendekatan ketika ini yang lebih tertumpu kepada pendapatan B40, M40 dan T20 tidak menggambarkan sepenuhnya dari segi perbandingan kemampuan satu isi rumah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Gambar: Bernama
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Gambar: Bernama

Pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah  bakal dilaksanakan Januari tahun depan sebagai langkah penstrukturan ekonomi untuk pengagihan subsidi bersasar yang lebih fokus, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata pendekatan ketika ini yang lebih tertumpu kepada pendapatan B40, M40 dan T20 tidak menggambarkan sepenuhnya dari segi perbandingan kemampuan satu isi rumah ke isi rumah lain, meliputi bilangan tanggungan anak dan lokasi individu.

Rafizi berkata pendekatan baharu itu akan diintegrasikan dengan  inisiatif Pangkalan Data Utama (Padu) yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini sebagai usaha penggabungan maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah dalam negara bagi memperkemaskan pelaksanaan subsidi bersasar.

“Apabila kami dapat capai tahap itu (pendapatan boleh belanja bersih isi rumah), kami akan dapat gambaran lebih jelas kebolehbandingan  pendapatan boleh belanja bersih untuk isi rumah dan itu akan membolehkan kami memperhalusi sebarang program kerajaan dan subsidi bersasar sewajarnya,”   katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ditanya sama ada pengagihan subsidi bersasar turut meliputi subsidi petrol RON95, beliau berkata kerajaan akan menumpukan kepada komponen subsidi elektrik dan diesel yang telah diumumkan serta memantau keberkesanannya dahulu sebelum mengumumkan sebarang keputusan bagi subsidi RON95. 

“Bila kita mula beralih kepada (subsidi) RON95, sudah tentu pertimbangannya lebih besar, melibatkan lebih ramai dan keluarga daripada setiap isi rumah. Sebab itu kita akan memastikan Padu tersedia menjelang 2024 serta sebarang keputusan mengenai bagaimana untuk menyasarkan RON95 itu boleh dibuat dengan mudah,” katanya.

Rafizi berkata Kementerian Ekonomi akan menyelaraskan dengan kementerian dan agensi lain agar pelaksanaan projek kecil mesra rakyat di seluruh negara dipercepatkan sebagai usaha membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Satu langkah yang kita akan ambil untuk pastikan bahawa perbelanjaan kerajaan akan berterusan dan untuk beri tumpuan kepada projek kecil yang mana proses perolehan dan kelulusan itu boleh dipermudahkan dan dipercepatkan,” katanya.