- Iklan -
Berita

Cabaran ‘meremajakan’ pusat penyiaran tertua Malaysia dalam dunia digital

Ikuti temu bual eksklusif bersama Ketua Pengarah RTM Suhaimi Sulaiman mengenai persepsi dan operasi di pusat penyiaran negara itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Wisma Radio RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Wisma Radio RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Suhaimi Sulaiman, 61, sedang melukis sambil menikmati hari-harinya sebagai pesara ketika beliau menerima panggilan telefon yang menawarkan beliau kembali berkhidmat dalam dunia penyiaran televisyen tempatan.

Selepas lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia kewartawanan dan penyiaran, Suhaimi kini menyambung haluan kerjayanya sebagai ketua pengarah di stesen televisyen milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia atau lebih dikenali sebagai RTM berkuat kuasa pada 20 Januari lalu.

Bercakap kepada MalaysiaNow dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini, Suhaimi mengakui masuk ke pejabatnya tanpa rasa kekok kerana sudah mesra dan mengenali hampir semua warga RTM khususnya rakan-rakan pemberita yang pernah ditemuinya ketika aktif bekerja sebagai wartawan suatu ketika dahulu.

Malah, beliau selaku ketua pengarah yang baru turut tidak meletakkan jangkaan awal terhadap kakitangan dan warga RTM berhubung kerja-kerja yang sedang mereka lakukan.

Katanya, beliau maklum tentang persepsi masyarakat yang mengandaikan RTM sebagai bentuk penyiaran yang “lapuk”, sinonim dengan penonton dalam kalangan rakyat yang berusia dan tidak mesra dengan golongan muda.

Ketua Pengarah RTM Suhaimi Sulaiman bercakap kepada pemberita sewaktu temu bual eksklusif dengan MalaysiaNow di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah RTM Suhaimi Sulaiman bercakap kepada pemberita sewaktu temu bual eksklusif dengan MalaysiaNow di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Suhaimi menegaskan data-data yang diterima di atas meja pejabatnya menunjukkan fakta yang sebaliknya.

Katanya, RTM lebih popular dan menyerlah kepada penonton muda dalam lingkungan 35 tahun ke bawah manakala tontonan tertinggi adalah di platform media sosial, TikTok.

Sebagai contoh, paling terbaru siaran langsung perlawanan bola sepak pasukan Malaysia menentang Vietnam pada 8 Mei lalu sempena penganjuran Sukan SEA 2023 mencatatkan tontonan lebih 1.1 juta di TikTok.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 64% penonton adalah di bawah umur 32 tahun.

“Sekarang kita di zaman di mana orang ramai tidak lagi duduk di rumah dan menonton TV.

“Inilah realiti industri penyiaran di Malaysia, rakyat kini memilih untuk menonton content (kandungan). Di dalam kereta, di pejabat dan di mana sahaja, semuanya menonton content.”

Atas sebab itu, Suhaimi tampil dengan pengurusan baru kepada rancangan-rancangan TV yang menjurus ke arah penstriman RTM.

Pada masa sama, ianya juga satu langkah untuk meremajakan dasar-dasar penyiaran RTM supaya ianya diberi nafas baru dalam industri tersebut.

Antaranya, pengenalan kepada Kanta 744 satu konsep berita ringkas dan padat selama 15 minit sebelum tayangan berita perdana pada 8 malam.

Selepas bersiaran kali pertama pada April lalu, Suhaimi berkata Kanta 744 menampilkan personaliti TV yang muda dan wajah-wajah baru dengan hanya 15 saat diperuntukkan untuk satu tajuk berita merangkumi semua segmen termasuk nasional, semasa, ekonomi, dunia, sukan, hiburan dan lain-lain.

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan pandangan golongan belia terhadap siaran RTM yang dianggap tidak mampu menarik perhatian mereka untuk menonton televisyen pemilikan kerajaan.

Apa acuan penyiaran RTM?

RTM adalah stesen penyiaran awam milik kerajaan Malaysia, tertua dalam negara, yang ditubuhkan pada 1 April 1946.

Beribu pejabat di Angkasapuri Kuala Lumpur, RTM turut mengendalikan enam saluran radio nasional, 13 saluran radio negeri dan saluran radio daerah serta enam saluran televisyen.

Ketika ditanya, apakah bentuk acuan untuk dasar dan hala tuju RTM, adakah ianya sama dengan stesen penyiaran BBC di Britain, KBS di Korea ataupun CNA di Singapura?

Seorang wanita berjalan melintasi ibu pejabat Radio Televisyen Malaysia di bangunan Angkasapuri di Kuala Lumpur.
Seorang wanita berjalan melintasi ibu pejabat Radio Televisyen Malaysia di bangunan Angkasapuri di Kuala Lumpur.

Suhaimi menegaskan setiap stesen penyiaran perlu mempunyai identiti sendiri tanpa perlu disandarkan kepada acuan tertentu.

“Mungkin kita boleh ambil idea tertentu untuk tambah baik kandungan sedia ada tetapi kita sendiri perlu meletakkan definisi ke atas hala tuju itu.

“Perlu tahu siapa audiens dan apa yang mereka mahu.”

Katanya, identiti RTM kini bersandarkan kepada elemen “Relevan”, “Relatable” (berhubung, sesuai) dan “Loveable” (disayangi).

RTM unit propaganda kerajaan?

Sejak peralihan kuasa pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, ia menyaksikan banyak perubahan dalam landskap politik tanah air di mana pucuk pimpinan pusat silih berganti.

Bagaimanapun, Suhaimi melihat di peringkat dalaman dan dasar-dasar RTM sebenarnya tidak membawa perubahan besar disebabkan faktor tersebut.

Sebagai kakitangan awam, katanya, warga RTM melihat persepsi sebagai unit propaganda kerajaan dalam sudut yang berbeza.

Keberadaan mereka adalah untuk membangunkan negara dan membantu rakyat.

Ini katanya boleh dilihat dengan pelbagai segmen yang disiarkan RTM termasuk dokumentari pendek, saluran pendidikan dan perusahaan komuniti.

“Ianya bukan tentang pendekatan bersifat politik semata-mata tetapi apa yang penting adalah, kandungan yang relatable (sesuai) itu tadi.

“Kena bijak pilih kepakaran kita ada di mana.”

Sejauh mana kebebasan media dalam RTM?

Sejak pemerintahan kerajaan campuran, campur tangan ahli politik semakin jelas mengganggu kebebasan media di Malaysia.

Sebelum ini, MalaysiaNow pernah melaporkan organisasi media tempatan memberitahu, bilik beritanya dihubungi seseorang daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) selepas sebuah laporan mengenai Perdana Menteri Anwar Ibrahim disiarkan.

Tidak lupa juga, gangguan berbentuk sekatan untuk menyiarkan rakaman takbir raya Perikatan Nasional (PN) yang ditempah atas alasan teknikal.

Bahkan sehingga kini, pemimpin politik pembangkang dilihat masih tidak mendapat tempat untuk disiarkan dalam stesen TV kerajaan.

Menurut Suhaimi, beliau memberi jaminan sesiapa sahaja mempunyai peranan yang mahu membangunkan negara dan bangsa akan sentiasa mendapat tempat di RTM.

Bagaimanapun, ianya selagi individu itu tahu bagaimana cara orang Malaysia berhujah tanpa mengganggu gugat kestabilan dan keharmonian semasa.

“Contohnya dilaporkan seorang artis digam kerana menyokong parti politik tertentu. Tetapi adakah beliau disiarkan sewaktu sambutan raya tempoh hari.

“Ada, bukan? Sesiapa akan dapat tempat jika mereka benar-benar ada niat dan hasrat ke arah itu.”