Tidak jauh dari sempadan Thailand-Malaysia, Kampung Bongor ialah penempatan terakhir di hulu Gerik sebelum hutan belantara menutup kawasan sempadan.
Kira-kira 100 rumah yang membentuk sebahagian kampung itu tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih meskipun empangan dan loji rawatan air tidak terlalu jauh dari kampung tersebut.
Difahamkan, tekanan air rendah menjadi punca mengapa air tidak dapat disambung ke rumah-rumah yang agak jauh dari jalan utama.
Ini adalah masalah yang dihadapi sejak puluhan tahun.
Disebabkan ketiadaan air bersih, sebahagian penduduk menggunakan telaga manakala sebahagian lagi menggunakan air sungai.
Bercakap kepada MalaysiaNow, seorang penduduk yang dikenali sebagai Nor Khaiziah berkata, masalah yang dihadapi sejak kecil itu menyukarkan rutin hariannya jika kemarau panjang atau hujan lebat.
"Kalau hujan, air tanah akan turun ke dalam telaga dan air di rumah kami akan menjadi kotor," katanya.
Rumahnya yang terletak di celah hutan itu menggunakan sumber telaga semula jadi menerusi sambungan paip.
Menurut wanita itu, keluarganya meminta bekalan air dan mengisi borang sewaktu pilihan raya lepas namun tiada tindakan susulan.
Di kampung itu juga ada pili bomba namun ia tidak mempunyai sambungan air.
Seorang lagi penduduk, Mohd Sobi Ismail berkata, dia berhabis kira-kira RM5,000 untuk menyambung paip dari sungai berhampiran ke rumahnya tujuh tahun lepas.
"Air dari sumber masyarakat tidak mencukupi kerana waktu kemuncak seperti Jumaat tengah hari, ramai orang menggunakannya.
"Begitu juga waktu maghrib," katanya.
Pernah juga baju penduduk yang sedang dicuci dalam mesin basuh menjadi kotor kerana air keruh yang masuk ke dalam mesin.
Penduduk kini mengharapkan agar ada tangki air dibina untuk disambungkan ke saluran paip yang mempunyai air, sebagai langkah sementara.
Lokasi tangki juga sudah dikenal pasti.
"Kalau boleh kita pun hendak bekalan air bersih. Kita sudah minta dekat Yang Berhormat dulu tapi tiada apa-apa," katanya.
Penduduk difahamkan masalah peruntukan dan kewangan menjadi penyebab mengapa tangki air masih tidak dapat dibina.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.