Pembikin dan penerbit Anwar: The Untold Story menerima kritikan hebat di sosial media selepas dakwaan segelintir pihak cuba mensabotaj tayangan filem tentang Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu.
Ini susulan kenyataan pihak produksi yang menyatakan selepas berjaya mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation seperti tidak mendapat slot tayangan seperti permintaan ramai.
Pengguna Facebook menggunakan ruangan komen menolak dakwaan wujud unsur sabotaj terhadap filem itu dengan mengatakan ianya satu petunjuk ia sememangnya tidak mendapat sambutan dari kalangan penonton.
Rata-rata mereka mengatakan tayangan filem yang memaparkan perjalanan politik Anwar sudah pasti mendapat rebutan setiap pawagam sekiranya boleh mendatangkan keuntungan.
"Sebenarnya tiada siapa yang mahu diperbodohkan dengan membuang masa menonton filem yang tidak berkualiti dan tangkap muat.
"Rakyat Malaysia hari ini sudah cerdik dan tahu menilai mana yang terbaik dan lebih menghiburkan," tulis Wan Zulkifli Abu Bakar di ruangan komen Facebook portal pro Pakatan Harapan (PH) Malaysiakini.
"Rugi jika buka banyak slot pun tapi pawagam kosong.
"Tauke pawagam nak filem yang boleh mendatangkan keuntungan," tulis Rusliah Ahmad.
Filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi itu antaranya dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Anwar dan pelakom Indonesia, Acha Septriasa sebagai isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Filem yang membabitkan kos RM10 juta menjalani penggambaran kebanyakannya di Indonesia.
Semakan di media sosial juga mendapati terdapat komen yang mengandungi kritikan sama di laman rasmi akhbar tempatan, Berita Harian Online dengan ramai mencabar pihak produksi membuktikan dakwaan tersebut yang disifatkan tidak adil kepada industri pawagam negara.
"Nak ajak protes lagi ke? Kali ni depan TGV dan GSC," kata Azhar Alfifilani.
"Kalau betul tuduhan itu bawa ke muka pengadilan dan gantung lesen.
“Jangan cakap sahaja," tulis Zul Azmi Ali.
Sebelum ini MalaysiaNow melaporkan ribuan tiket percuma ditawarkan di media sosial untuk menarik orang ramai memenuhi pawagam di seluruh negara bagi menonton filem tersebut yang ditayangkan menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Digitial Fahmi Fadzil pernah menyeru orang ramai menonton filem tersebut yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 18 Mei lalu.
Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dan selepas dipecat daripada pentadbiran kerajaan Dr Mahathir Mohamad.