- Iklan -
Berita

Tiada aduan kenaikan harga barang sepanjang 3 musim perayaan lalu, kata menteri

Ia membabitkan tempoh sepanjang sambutan Krismas, Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub bercakap ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub bercakap ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Kerajaan langsung tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang atau ketidakberadaan barangan keperluan sepanjang tiga musim perayaan sebelum ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.

Bercakap ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, itu adalah berdasarkan statistik yang diperoleh kementeriannya sepanjang sambutan Krismas, Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang disambut baru-baru ini.

"Skim harga maksimum musim perayaan sebaik saja kita masuk dalam kerajaan, semasa Krismas, Tahun Baru Cina dan terbaru pada Aidilfitri, statistik menunjukkan bahawa 'zero complaint' (tiada aduan)," katanya.

"Tiada aduan langsung tentang kenaikan harga barang dan ketidakberadaan barang-barang keperluan.

"Yang ada cuma isu-isu kecil seperti tidak ada tanda harga dan seumpamanya."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diajukan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.

Namun begitu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid dari Perikatan Nasional (PN) membidas jawapan Salahuddin dan menyifatkan pemimpin daripada Amanah itu tidak berpijak di bumi nyata apabila keluhan rakyat membuktikan sebaliknya.

Rosol turut mempersoalkan sama ada kerajaan mampu mengaplikasikan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan harga minyak dan kereta sebelum menjadi kerajaan.

"PM (Perdana Menteri) sebelum jadi PM memberi keyakinan akan turun harga minyak. Formula daripada pakar formula kata akan turun harga kereta,” katanya merujuk kepada Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.

"Jadi, sejauh manakah pendapat dua ini dapat diaplikasikan dalam kementerian untuk pastikan rakyat di luar sana terutamanya B40 tidak tertekan.”

Salahuddin kemudian mempertahankan jawapannya dengan menyatakan segala data yang diterima itu adalah daripada badan penguat kuasa.

"Takkanlah ketua penguat kuasa berbohong. Tidak mungkin.

"Harga makanan naik, itu mungkin betul.

“Kalau nak kata harga barang asas naik mendadak itu tidak betul kerana itu dikawal kerajaan," tambah Salahuddin yang juga ahli Parlimen Pulai.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.