- Iklan -
Berita

Kerajaan enggan dedahkan kos penggunaan jet peribadi kerajaan oleh Anwar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Armizan Mohd Ali dalam jawapan bertulis tidak begitu menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean yang diadakan di Labuan Bajo, Indonesia, 9 Mei. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean yang diadakan di Labuan Bajo, Indonesia, 9 Mei. Gambar: Reuters

Kerajaan enggan mendedahkan kos keseluruhan perbelanjaan penggunaan jet peribadi oleh Anwar Ibrahim sejak beliau memegang jawatan perdana menteri.

Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi dari Perikatan Nasional (PN) meminta perdana menteri menyatakan jumlah kos penggunaan jet peribadi milik kerajaan serta destinasi dan tujuan kegunaannya sejak Disember 2022 hingga April lalu.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali dalam jawapan bertulis tidak begitu menjawab soalan tersebut dan menyatakan penggunaan pesawat eksekutif kerajaan itu adalah keistimewaan yang dinikmati semua perdana menteri.

Menurutnya, sejak menjadi perdana menteri, Anwar menggunakan pesawat eksekutif kerajaan jenis Airbus di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri sebanyak sembilan kali bagi tugasan rasmi ke luar negara.

Negara yang dilawati Anwar termasuk Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Turkiye, Filipina, Arab, Saudi, Kemboja dan China.

Selain itu, Armizan turut memaklumkan bahawa Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun menggunakan pesawat eksekutif kerajaan jenis Global Express dan Falcon di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk 17 destinasi domestik bagi tugasan rasmi.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan secara terperinci destinasi penggunaan jet serta kos penggunaannya.

"Pesawat tersebut merupakan pesawat rasmi kerajaan di mana ia digunakan atas urusan rasmi atau khas perdana menteri," katanya menerusi jawapan bertulis semalam.

"Segala kos yang terlibat dalam penerbangan tersebut adalah dalam anggaran yang bersesuaian dengan perkhidmatan dan pengurusan pesawat berkenaan."