- Iklan -
Berita

Khairy bidas alasan menteri berhubung kegagalan di Sukan SEA

Khairy Jamaludin berkata Hannah Yeoh perlu berjiwa besar dan menerima kegagalan itu meskipun tidak bertanggungjawab sepenuhnya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap semasa podcast yang dihoskan bersama dengan bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.
Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin bercakap semasa podcast yang dihoskan bersama dengan bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaludin membidas alasan yang diberikan penyandang jawatan itu, Hannah Yeoh berhubung prestasi buruk kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan SEA tahun ini selepas gagal memenuhi sasaran 40 pingat emas. 

Katanya, Yeoh perlu berjiwa besar dan menerima kegagalan itu, meskipun tidak bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan itu.

"Saya menjadi menteri pada 2013. Tak sampai setahun saya jadi menteri, kita ada Sukan Komanwel di Glasgow dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan. Dua-dua kita tak capai sasaran.

"Saya minta maaf walaupun saya tak perlu minta maaf, dan (permohonan maaf) tanpa kaveat saya baru menteri setahun," katanya dalam podcast Keluar Sekejap yang dimuat naik semalam.

Yeoh dalam sidang media baru-baru ini menyalahkan ketidakstabilan politik sebagai punca prestasi sukan Malaysia merosot.

Malaysia mendapat kedudukan ketujuh dalam edisi ke-32 temasya dwi-tahunan itu.

Ahli Parlimen Segambut itu dilantik menjadi menteri belia dan sukan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim manakala Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abdul Halim menjadi timbalan.

Pada sidang media sama, Yeoh juga berkata beliau tidak akan meminta maaf atas kegagalan tersebut.

Menurut Khairy, Yeoh tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu.

"Saya faham apa yang dia cuba kata ada perubahan dasar oleh kerana terlalu ramai menteri dalam tempoh dua tiga tahun ini.

“Mungkin ada sedikit sebanyak kesan tetapi hendak terus kata ketidakstabilan politik, itu agak 'distasteful'," katanya. 

Khairy menjadi menteri belia dan sukan di bawah pentadbiran Najib Razak sehingga Barisan Nasional tumbang pada 2018.

Beliau turut menyelia kementerian itu semasa Sukan SEA di Myanmar pada 2014 dan Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil pada 2016.

Menurut Khairy, atlet muda yang dihantar ke sukan SEA adalah perkara normal dan tidak hanya unik pada 2023. 

Selain itu, tindakan Kemboja selaku tuan rumah menggugurkan sukan-sukan yang dimenangi Malaysia juga bukan alasan tidak mencapai sasaran 40 emas. 

Dalam pada itu, bekas ahli Parlimen Rembau itu berkata, menteri terlibat untuk memastikan dasar, peruntukan dan persiapan dilakukan secukupnya untuk menghantar atlet ke satu-satu kejohanan sukan.

"Kita akan melihat prestasi atlet dan bantu membuat unjuran untuk atlet itu. Kita kena bincang dengan Majlis Sukan Negara.

"Semua ini tanggungjawab menteri. Kita kena pastikan atlet pelapis kita mencapai tahap boleh menang pingat Sukan SEA," katanya.