Kerajaan cuba mendekati murid sekolah dan anggota bomba dengan menawarkan tiket percuma filem propaganda yang menggambarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin menentang rasuah.
Tindakan ini dilakukan beberapa hari selepas penerbit menuduh pemilik pawagam mensabotaj filem tersebut berikutan sambutan suram orang ramai.
Pendekatan ini juga dilakukan ketika penerbit mendakwa filem itu menarik perhatian ramai di pawagam seluruh negara, di samping kempen penyokong perdana menteri untuk menarik orang ramai memenuhi pawagam dengan menawarkan tiket percuma.
Kempen terbaru adalah dengan mempelawa pelajar Tingkatan 6 sebuah sekolah menengah di Putrajaya untuk bersama-sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menonton filem "Anwar: The Untold Story".
Perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang tersebar di media sosial.
Filem buatan Indonesia itu berlatarkan tahun 1990-an yang menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dan selepas dipecat daripada pentadbiran kerajaan Dr Mahathir Mohamad.
MalaysiaNow cuba menghubungi Fadhlina dan pegawai kementeriannya untuk mendapatkan pengesahan mengenai surat itu namun tidak berjaya.
Sementara itu, satu klip video pendek tular menunjukkan Ahli Parlimen Selayang William Leong dari PKR berucap kepada penonton sebelum tayangan filem berkenaan di sebuah pawagam di Rawang, Selangor, sambil berulang kali menggesa mereka untuk melaungkan "reformasi".
Laungan “reformasi” sering digunakan Anwar selepas beliau dipecat oleh Mahathir pada 1998 atas dakwaan meliwat.
Pada 20 Mei, anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat menghadiri tayangan percuma, yang turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Noor Azman Taib serta pegawai atasan lain.
Kakitangan jabatan itu dijemput melalui memo dari pejabat pengarah, menggesa mereka menghadiri tayangan di pawagam di IOI City Mall di Putrajaya.
Promosi agresif untuk filem itu mendorong ramai pengguna media sosial menyiarkan kenyataan berbaur sindiran.
Salah seorang pengguna media sosial mempersoalkan mengapa masih terdapat tempat duduk kosong di dalam pawagam walaupun tiket "habis dijual".
Minggu lalu, penerbit mendakwa filem itu meraih jualan RM1 juta pada hari pertama tayangan.
Bagaimanapun, penerbit mendakwa filem berkenaan tidak diberikan slot tayangan seperti dijanjikan oleh pemilik pawagam.
Dakwaan itu mendapat kritikan hebat, dengan ramai yang mengatakan ia menunjukkan filem itu tidak mendapat sambutan meskipun dihebohkan peminat Anwar.
Tayangan filem itu bermula ketika suhu politik negara dijangka semakin panas menjelang pilihan raya di enam negeri, di mana gabungan pemerintah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berharap dapat menarik semula sokongan pengundi Melayu.
Pemimpin kerajaan dan penyokong PH giat mempromosikan filem itu, dengan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menggesa orang ramai supaya menontonnya.
Penerbit eksekutif filem itu, Zulkiflee Anwar Haque, memetik tinjauan yang mendakwa orang ramai berpusu-pusu menontonnya di pawagam utama di Lembah Klang, sambil menambah beberapa pawagam "ditempah sepenuhnya dan ditempah lebih awal" untuk tayangan filem itu.
Walaupun penyokong kerajaan memberikan ulasan yang memberangsangkan terhadap filem itu, pengkritik menolaknya sebagai propaganda Anwar, dengan bekas ahli Umno yang lantang Khairuddin Abu Hassan menyifatkan filem itu sebagai "tidak berguna" dan "memualkan".
Seorang lagi pengkritik berkata filem itu dipenuhi dengan skrip dan lakonan yang buruk.
“Naik bulu roma, dialog buruk. Pelakon memerlukan guru dialek," kata Neddo Khan di Twitternya, merujuk kepada pelakon Indonesia yang mendominasi filem itu, sambil menambah terdapat keperluan untuk menghasilkan filem yang "benar-benar mencerminkan hubungan Anwar-Mahathir".
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.