- Iklan -
Berita

Kenapa Anwar perlu risau tentang Selangor

Penganalisis menjangkakan pertarungan sengit di kubu kuat PH sejak sekian lama, dengan sebarang kekalahan bagi pakatan pemerintah akan menimbulkan berita buruk untuk masa depan Anwar Ibrahim.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama timbalannya Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan 2023 di Kuala Lumpur, 14 Mei. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama timbalannya Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan 2023 di Kuala Lumpur, 14 Mei. Gambar: Bernama

Kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan tergugat sekiranya Selangor tumbang ke tangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata penganalisis politik veteran Ahmad Atory Hussain.

Penganalisis dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, jika Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan Selangor, ia boleh mencemarkan imej Anwar sebagai perdana menteri, malah melemahkan pengaruh beliau di peringkat nasional.

Ini kerana Selangor dianggap sebagai negeri terkaya di Malaysia apabila negeri itu menyumbang angka tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Negeri itu mula ditadbir PH pada 2008 ketika gabungan politik itu menggunakan nama Pakatan Rakyat. 

"Jika Selangor tumbang, memang akan tergugat kedudukan Anwar sebagai PM," katanya kepada MalaysiaNow.

"Umpama terbang dalam keadaan sayap sebelah sudah patah. 

“Maksudnya, dia masih berkuasa, tetapi tidak sekuat sebelum ini. Lama-lama dia akan turun."

Mengulas lanjut, Atory berkata, kerjasama antara PH-BN dilihat berada dalam situasi terdesak apabila pemimpin Umno sudah mula meminta ahlinya mengundi DAP dan sebaliknya.

Katanya, situasi ini pastinya akan menerima tentangan hebat dalam kalangan akar umbi sekali gus menyebabkan perpecahan skala lebih besar dan memberi PN kedudukan yang lebih kukuh.

"Ada logik jika ahli Umno tidak undi PH, sebaliknya beralih menyokong PN kerana kecewa dengan pendirian pemimpin parti sendiri.

"Pemimpin Umno di Selangor seperti Noh Omar pula sudah dibuang. Jadi, di mana kekuatan mereka di Selangor? Atas dasar itu, Umno semakin lemah," katanya.

Dalam pada itu, Atory menambah, kehadiran puluhan ribu pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN di Shah Alam baru-baru ini juga merupakan satu isyarat bagi menunjukkan sokongan Melayu di negeri tersebut.

Katanya, situasi ini sekali gus membuktikan PN boleh menjadi alternatif kepada PH.

Bagi Rabi'ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), usaha PN untuk menawan Selangor dilihat sebagai satu misi yang sukar, namun beliau menjangkakan gabungan parti politik itu dengan mudah akan menambah kerusi di pantai barat negeri tersebut.

Katanya, semua parti dijangka akan berusaha habis-habisan untuk menawan Selangor disebabkan kedudukan ekonominya yang lebih kukuh berbanding negeri lain.

"PH-BN dijangka akan lebih agresif untuk mengukuhkan posisi mereka sebagai kerajaan negeri melalui kempen yang bakal dilaksanakan.

"Jika mereka mempertahankan Selangor, persoalan utama, adakah menteri besar Selangor dipilih daripada PH atau Umno? Itu lebih menarik," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari USM, Azmil Mohd Tayeb menjangkakan PN akan merampas kerusi majoriti Melayu yang kini dipegang Umno dan Amanah, tetapi mungkin tidak cukup untuk mendapat majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Namun, katanya, demi menjaga kestabilan kerajaan, kemungkinan Anwar atau PKR perlu mengorbankan kerusi selamat dimiliki mereka bagi memastikan Umno tidak terkubur.

"Jika tidak, ada kemungkinan akan terjadi perbalahan besar dalam Umno kerana kekalahan yang mutlak ini," katanya.