- Iklan -
Berita

Langkah susulan keputusan Sukan SEA 2023 jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Perkara itu akan dibangkitkan oleh ahli parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari kepada menteri belia dan sukan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari keempat hari ini, antara lain akan membincangkan langkah ke hadapan yang akan dilaksanakan kerajaan susulan keputusan yang diperoleh kontinjen negara pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu akan dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) kepada menteri belia dan sukan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), sejurus mesyuarat Dewan Rakyat bermula 10 pagi.

Turut tersenarai, soalan daripada Lo Su Fui (GRS-Tawau) kepada perdana menteri mengenai komitmen kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu bekalan air di Sabah sebagaimana yang dinyatakan dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Soalan itu turut meliputi pendekatan mengambil alih pengurusan air di Sabah seperti yang dilaporkan oleh media yang dikhuatiri bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peranan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri dalam memastikan komitmen berkenaan dilaksanakan.

Pada sesi soal jawab pula, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengemukakan soalan kepada perdana menteri mengenai usaha memartabatkan pentadbiran Mahkamah Syariah yang menyeluruh termasuk dari segi hukuman kesalahan jenayah syariah, pelantikan Hakim Syarie dan sebagainya.

Setelah selesai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan bacaan kedua Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini.