- Iklan -
Berita

Beregu wanita utama negara mara ke separuh akhir Masters Malaysia

Pearly Tan dan M Thinaahu melakukan kejutan dengan menewaskan beregu pilihan keempat daripada Jepun, Yuku Fukushima dan Sayaka Hirota.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Reaksi beregu wanita utama negara Pearly Tan dan M Thinaah selepas memenangi perlawanan menentang pemain Jepun Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota pada pusingan suku akhir kejohanan Perodua Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, 26 Mei.
Reaksi beregu wanita utama negara Pearly Tan dan M Thinaah selepas memenangi perlawanan menentang pemain Jepun Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota pada pusingan suku akhir kejohanan Perodua Malaysia Masters 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, 26 Mei.

Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit selepas kecundang pada set pertama, sekali gus menempat slot ke pusingan separuh akhir Masters Malaysia 2023.

Gandingan pilihan keenam kejohanan itu melakukan kejutan dengan menewaskan beregu pilihan keempat daripada Jepun, Yuku Fukushima-Sayaka Hirota, di Axiata Arena, di Kuala Lumpur hari ini.

Pearly-Thinaah bermula kurang baik dengan beberapa kesilapan di jaring yang mengakibatkan pasangan Malaysia itu tewas 13-21 pada set pertama.

Meskipun ketinggalan sebaik bermula set kedua, beregu nombor 11 dunia itu bekerja keras untuk menyamakan kedudukan 16-16 dan akhirnya berjaya membawa permainan ke set penentuan apabila mendominasi set kedua dengan 21-19.

Pasangan itu sekali lagi berjaya bangkit apabila ketinggalan 1-6 dalam set ketiga dan terus mempamerkan aksi mantap untuk membawa kedudukan ke 18--15, sebelum meraih kemenangan 21-16 selepas bertarung hampir dua jam.

Beregu Korea Selatan Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir selepas pilihan kelima kejohanan itu mengejutkan pilihan kedua Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti daripada Indonesia, 21-15, 18-21, 21-16.

Meskipun kelelahan pada dua set terakhir, Pearly mengakui kehadiran ahli keluarganya memberi semangat untuk beliau meneruskan perlawanan dan mara ke peringkat seterusnya bersama Thinaah.

“Saya bukan cedera tapi saya pada suatu ketika saya tak mampu berdiri dan stabilkan badan di gelanggang, namun saya tak mahu kecewakan pasangan saya yang banyak membantu saya.

“Saya juga tak nak kecewakan jurulatih. Saya cuma beritahu diri sendiri untuk jadi lebih kuat dan berjuang hingga saat akhir,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan. 

Ditanya mengenai insiden pada set ketiga apabila pengadil secara tiba-tiba menghentikan permainan ketika ‘rally’ panjang dan pasangan Jepun mendahului 12-11, Pearly berkata tiada apa yang dapat mereka lakukan tentang keputusan itu.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky, mempersoalkan kewajaran keputusan kontroversi pengadil daripada Serbia, Alexander Olennikov, yang secara tiba-tiba memberhentikan perlawanan ketika rali panjang pada set ketiga.

“Pemain penat ketika rali panjang namun pengadil berhentikan permainan kerana melihat jurulatih Jepun sedang bercakap kepada pemainnya, saya terus bangun dan mengadu kerana mereka juga bekas pemain dan harus faham pemain sememangnya penat. Ini kali pertama saya berdepan insiden sebegini,” katanya.

Beliau pada masa sama meluahkan kekecewaannya kerana melihat peraturan badminton terlalu ketat sehinggakan pemain tidak mendapat kebebasan sewajarnya.

Dalam pada itu, pakar beregu dari Indonesia itu mengakui Pearly masih terkesan dengan impak permainan semalam yang turut menyaksikan mereka menempuh rali panjang sebanyak 211 pukulan, menentang satu lagi gandingan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto.

Pasangan Malaysia merekodkan kemenangan 21-18, 8-21, 21-19 pada perlawanan itu untuk menempah tiket ke suku akhir.

Selepas melihat Pearly hampir putus asa, Rexy berkata beliau terus cuba menaikkan semangatnya untuk meneruskan perlawanan kerana pemain tersebut mempunyai pengalaman menempuh latihan yang sukar sebelum ini.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.