- Iklan -
Berita

Bukan hanya Malaysia, kata Bank Negara selepas nilai ringgit merosot

Bank pusat itu berkata ringgit akan bertambah baik apabila keadaan pasaran global semakin jelas.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengurup wang bercakap melalui telefon sambil menunggu pelanggan di Kuala Lumpur, 16 Julai 2003. Gambar: AFP
Seorang pengurup wang bercakap melalui telefon sambil menunggu pelanggan di Kuala Lumpur, 16 Julai 2003. Gambar: AFP

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengatakan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini bukan sesuatu yang unik kepada Malaysia dan mata wang tempatan itu akan bertambah baik apabila ketidaktentuan pasaran global kembali reda. 

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata, perkembangan semasa dalam pasaran kewangan global menjejaskan sentimen pasaran.

“Keadaan ini termasuk had tertinggi hutang AS yang belum dapat diselesaikan serta episod tekanan sektor perbankan di AS dan Eropah. 

“Hal ini telah menyebabkan meningkatnya permintaan terhadap aset selamat seperti dolar AS dan aliran keluar daripada kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun apabila pelabur melindungi pelaburan mereka. Berlatarkan keadaan ini, dolar AS telah mengukuh berbanding dengan kebanyakan mata wang.”

Kesannya, kata BNM, ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai yang ketara, sama seperti kebanyakan mata wang. 

“Prestasi ringgit secara keseluruhan perlu diberikan pertimbangan bukan sahaja berbanding dengan dolar AS, tetapi juga dengan mata wang negara rakan perdagangan utama Malaysia,” tambahnya.

“Pergerakan ringgit berbanding dengan rakan dagangan utama negara, seperti yang diukur oleh kadar pertukaran efektif nominal, secara relatif adalah lebih perlahan.

“Pada persekitaran semasa, perkembangan luaran memberikan kesan yang lebih besar terhadap prestasi ringgit. Sehubungan dengan hal ini, prestasi ringgit berbanding dengan dolar AS, atau mana-mana mata wang lain, tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negara.”

Menurut BNM, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang antara 4.0% hingga 5.0% pada tahun ini, manakala permintaan dalam negeri akan terus mendorong pertumbuhan.

“Pada masa yang sama, pasaran eksport dan segmen produk Malaysia yang pelbagai akan terus menyokong daya tahan sektor luaran.”

Katanya, pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran dan BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada turun naik pasaran kewangan yang meningkat. 

“Bagi tujuan ini, operasi pasaran BNM akan memastikan pasaran kewangan mempunyai mudah tunai yang mencukupi serta berfungsi secara teratur. 

“Prestasi ringgit dijangka bertambah baik apabila ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pasaran global menjadi reda.

“Hal ini seterusnya akan mencerminkan kekukuhan asas-asas ekonomi Malaysia dengan lebih baik,” katanya.