- Iklan -
Berita

Tiada produk pertahanan Rusia di Lima 2023

Rusia antara rakan strategik pertahanan Malaysia yang kini giat melobi untuk pesawat MIG-35 dan Sukhoi SU-35 buatan negara tersebut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai mula membanjiri kawasan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri seawal jam 7.30 pagi bagi merasai sendiri pengalaman menyaksikan pertunjukan udara dan maritim sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima 2023), 26 Mei. Gambar: Bernama

Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (Lima 2023) menyaksikan ketiadaan kelibat pavilion dari Rusia yang kerap menyertai pameran itu sebelum ini, meskipun negara tersebut menjadi pengeksport utama aset pertahanan negara.

Ini bermakna aset dan produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat Rusia tidak disertakan pada Lima 2023. 

Pada Lima edisi lalu, Rusia menerusi Rostec State Corporation menganjurkan pavilion mereka untuk mempromosikan beberapa jenis helikopter.

Rusia bagaimanapun tetap menampilkan pasukan aerobatik mereka, Russian Knights pada Lima edisi kali ini. 

Negara itu sebelum ini menarik diri daripada Defence Service Asia (DSA) tahun lalu bersekali dengan Ukraine dan Belarus ekoran perang Rusia Ukraine yang masih berlarutan. 

Bagaimanapun, punca utama Rusia tidak menyertai pameran Lima kali ini tidak dapat dipastikan, sama ada ia terkait dengan peperangan di Ukraine yang mana Amerika Syarikat dan Barat mengetuai usaha global untuk memboikot Moscow.

Kementerian Pertahanan selaku penganjur tidak memberikan sebarang komen ketika ditanya mengenainya.

MalaysiaNow sedang mendapatkan komen Kedutaan Rusia berhubung perkara tersebut. 

Rusia antara rakan strategik pertahanan Malaysia yang kini giat melobi untuk pesawat MIG-35 dan Sukhoi SU-35 buatan negara tersebut.

Malaysia setakat ini mengoperasikan 18 pesawat SU-30 yang masih aktif, manakala MIG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah ditamatkan operasi.

Pembelian SU-30 dari Rusia membabitkan nilai RM2.2 bilion yang ditandatangani pada 2003.

Dalam pertemuannya dengan Dr Mahathir Mohamad pada 2019, Presiden Rusia Vladimir Putin menawarkan pengambilan semula jet Sukhoi dan MIG bagi menggantikan aset udara itu dengan pesawat baru buatan Rusia.

TUDM baru-baru ini membeli 18 pesawat Korea, FA-50 bagi menggantikan pesawat Hawk buatan British.