- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi manusia kecam kerajaan rayu keputusan beri kerakyatan kanak-kanak

LFL mempersoalkan tindakan kerajaan memfailkan rayuan sedangkan kenyataan menteri menyifatkan individu tanpa kerakyatan sebagai isu nasional yang serius.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggu giliran bagi urusan di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Gambar: Bernama
Orang ramai menunggu giliran bagi urusan di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Gambar: Bernama

Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam langkah kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kelahiran untuk kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Kumpulan hak asasi manusia itu turut mempersoalkan motif Putrajaya berbuat demikian. 

Pengarah LFL Zaid Malek berkata rayuan yang difailkan itu menunjukkan kerajaan tidak serius untuk menangani masalah individu tanpa kerakyatan meskipun kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini menyifatkan perkara itu sebagai isu nasional yang serius. 

“Dan lebih teruk lagi, (ia) terus mengekalkan masalah dengan memanjangkan isu dengan memfailkan rayuan yang tidak bermaruah untuk menjadikan kanak-kanak malang ini tidak memiliki kewarganegaraan seumur hidup. 

"Apakah justifikasi mereka terhadap perkara ini? Ujian DNA mengesahkan bahawa bapa kandung kanak-kanak itu adalah warganegara Malaysia," kata Zaid dalam satu kenyataan. 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Mei mengarahkan JPN supaya mengeluarkan sijil kelahiran kepada kanak-kanak itu sebagai rakyat Malaysia.

Menurut LFL, mahkamah berhak menentukan taraf warganegara mengikut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, setelah menetapkan paterniti bapanya adalah warga Malaysia mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini pada 2022. 

"Keputusan Mahkamah Persekutuan oleh ketua hakim secara terang-terangan diabaikan oleh kerajaan dan menteri dalam negeri," kata Zaid. 

"Sebaliknya, kerajaan pimpinan PH, yang berulang kali berjanji untuk melindungi hak asasi manusia, bertekad untuk menghalang anak kecil ini daripada mendapat hak kewarganegaraan." 

Beliau menambah tidak ada justifikasi bagi kerajaan untuk "menghukum" kanak-kanak yang dilahirkan di luar nikah tanpa kerakyatan. 

"Ini adalah asas utama kerajaan mahu menafikan status kanak-kanak itu sebagai rakyat Malaysia," katanya. 

"Status tanpa kerakyatan bukanlah sesuatu yang remeh: ia menghalang hak individu untuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan. 

“Tiada masa depan untuk mereka yang tanpa kerakyatan, sebab itu adalah sangat penting untuk menghapuskan status tanpa kerakyatan."