- Iklan -
Berita

Mahathir tawar formula jaga air muka Anwar? Naratif bekas sekutu cabar 'Untold Story'

Bekas pemimpin Umno, Ibrahim Ali mengimbas kembali peranannya sebagai perantara Mahathir dan Anwar.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Timbalan perdana menteri ketika itu, Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas perasmian Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur, 5 September 1997. Gambar: AFP
Timbalan perdana menteri ketika itu, Anwar Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas perasmian Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur, 5 September 1997. Gambar: AFP

Filem propaganda mengangkat Anwar Ibrahim yang mula ditayangkan pada 18 Mei lalu bukan saja mencetuskan kontroversi ekoran pemberian tiket percuma oleh penyokongnya, tetapi juga membawa kepada pelbagai naratif yang mempersoalkan versi sejarah ditampilkan dalam filem tersebut.

Pembikin dan penerbit "Anwar: The Untold Story" mendakwa filem tersebut menceritakan apa yang berlaku sebelum kejatuhan Anwar pada 1998, sewaktu beliau dipecat daripada Kabinet oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan moral. 

Walaupun penyokong kerajaan memberikan ulasan yang memberangsangkan terhadap filem itu, namun beberapa pengkritik menyifatkannya sebagai propaganda Anwar menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini.

Malah, ada juga pengkritik mengatakan filem tersebut dipenuhi dialog “menaikkan bulu roma” dan lakonan yang teruk.

Filem itu juga menarik perhatian umum berikutan tular di media sosial surat jemputan yang mempelawa penjawat awam dan murid sekolah menonton tayangan secara percuma serta gambar tempat duduk pawagam yang kosong meskipun penerbit mendakwa tiket “habis terjual”.

Bagaimanapun, fokus terhadap gambar tempat duduk pawagam dan filem tersebut di media sosial beberapa hari ini beralih kepada naratif berbeza daripada filem itu yang menggambarkan Anwar sebagai seorang pemimpin yang tegas dalam memerangi rasuah dalam kerajaan Mahathir.

Antaranya adalah satu video ucapan bekas sekutunya, Ibrahim Ali yang menjelaskan apa yang berlaku beberapa minggu sebelum 2 September 1998, tarikh di mana Mahathir memecat bekas timbalannya ketika itu. 

Video yang tersebar di platform WhatsApp serta TikTok itu menunjukkan Ibrahim mengimbau kembali kejadian di belakang tabir yang berlaku sebelum pemecatan Anwar. 

Ibrahim yang juga bekas orang kuat Umno Kelantan, rapat dengan Anwar sewaktu mereka terlibat dalam demonstrasi pelajar pada 1970-an, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin berkenaan ditahan selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting.

Perantara Mahathir dan Anwar

Dalam video berdurasi sembilan minit itu, Ibrahim mengimbas kembali perjumpaan beliau dengan Mahathir di sebuah kelab menunggang kuda di Kuala Lumpur, enam bulan sebelum pemecatan Anwar pada 2 September 1998.

Pada ketika itu, perdana menteri bertanyakan soalan mengenai dakwaan salah laku seksual terhadap timbalannya.

"Saya kata, kenapa Datuk (Mahathir) tanya saya? (Dia jawab) Awak kenal dia lama, dan awak dalam Kamunting dua tahun," kata Ibrahim.

Ibrahim berkata semasa pertemuan tersebut, Mahathir berkongsi butiran mengenai Anwar seperti yang diberikan oleh pegawai perisikan dan lain-lain, termasuk oleh Hanif Omar yang ketika itu sudah bersara sebagai ketua polis negara.

Ibrahim berkata susulan pertemuannya dengan Mahathir, beliau mula menjauhkan diri daripada Anwar.

Akan tetapi katanya, dua hari sebelum 2 September itu beliau menerima satu panggilan mengejutkan daripada Anwar yang mengajaknya berjumpa segera.

Sewaktu tiba di kediaman Anwar, Ibrahim berkata timbalan perdana menteri itu terus memeluknya sambil menangis dan meminta maaf kerana mengabaikannya.

"Saya kata, apa hal? (Dia kata) jangan kamu tak tahu, Dr Mahathir nak pecat aku sehari dua lagi."

Ibrahim berkata Anwar memintanya untuk berjumpa Mahathir dengan tujuan untuk meyakinkan perdana menteri bagi mengubah fikirannya, sambil menambah Anwar berharap Mahathir akan memberinya "peluang sekali lagi". 

Menurut Ibrahim, tidak lama selepas itu beliau pergi ke Sri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri ketika itu di Kuala Lumpur.  

Beliau bagaimanapun dihalang masuk oleh polis di pintu pengawal, tetapi mendesak untuk membuat panggilan ke dalam kediaman itu. 

Katanya, apabila telefon itu dijawab oleh isteri Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Ibrahim merayu agar beliau dibenarkan masuk untuk berjumpa suaminya.

“Saya cakap pada Siti Hasmah ‘ini penting, antara hidup dan mati’. Tapi entah macam mana saya diizinkan masuk ke dalam,” katanya. 

Ketika di dalam rumah, Ibrahim berkata beliau terus memeluk Mahathir sambil menangis dan merayu kepada perdana menteri supaya “memberi peluang sekali lagi kepada Anwar”.

Ibrahim berkata, ketika itu Mahathir ada bertanyakan sama ada Anwar ada memintanya untuk datang.

Jaga ‘air muka’ Anwar

Ibrahim berkata perdana menteri ketika itu mencadangkan jalan keluar kepada Anwar bagi mengelakkan dakwaan itu diketahui umum.

"Beginilah Ibrahim, awak pergi jumpa balik Anwar, suruh Anwar tulis surat letak jawatan. Dan (tulis dalam surat itu) dia letak jawatan kerana dia tidak setuju dengan dasar ekonomi dan hal urusan kewangan pada waktu itu kerana negara kita diserang oleh penyangak mata wang," kata Ibrahim memetik Mahathir, merujuk kepada krisis kewangan Asia yang menyaksikan nilai ringgit menjunam daripada RM2.40 berbanding dolar AS pada 1997 ke paras terendah dalam sejarah pada RM4.88 menjelang Januari 1998.

Sehari sebelum memecat Anwar, Mahathir mengumumkan ringgit akan ditambat kepada 3.80 berbanding dolar AS sebagai satu langkah yang katanya akan melindungi daripada penyangak mata wang. 

Walaupun langkah itu dikritik oleh pakar ekonomi serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), namun badan itu pada 2002 memuji cara Mahathir menangani krisis ekonomi. 

Semasa perjumpaan tersebut, Ibrahim berkata Mahathir memberitahunya Anwar boleh berselisih faham dalam hal ekonomi tetapi bukannya dakwaan tidak bermoral sebagai alasan untuk beliau meletak jawatan.

"Tak ada masalah. Tentu orang akan marah kat saya. Saya akan memikul tanggungjawab,” kata Ibrahim memetik Mahathir sebagai berkata.

Beliau berkata Mahathir ketika itu memberitahunya beliau sudah berjumpa dengan ramai orang dan yakin timbalannya tidak layak untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Ibrahim berkata, beliau terus membuat satu rayuan terakhir bagi pihak Anwar, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Mahathir yang memberitahunya: "No, Ibrahim! Biar saya hancur, saya tidak akan rosakkan negara untuk serahkan jawatan perdana menteri kepada beliau."

Pada 2000, Anwar dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun kerana meliwat adik angkatnya Sukma Darmawan. 

Dia dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya, meskipun hakim berpendapat dalam penghakimannya bahawa perbuatan homoseksual itu berlaku, kenyataan yang gagal dimansuhkan oleh Anwar. 

Pada 2008, Anwar sekali lagi didakwa atas tuduhan liwat, kali ini melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan. 

Dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2015, tetapi dibebaskan pada 2018 selepas mendapat pengampunan diraja sebagai sebahagian daripada janji pilihan raya bagi membebaskannya oleh kerajaan Pakatan Harapan yang ketika itu dipimpin Mahathir.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.