Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin menyelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak dapat mengesahkan dakwaan parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima sumbangan daripada dana judi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Menerusi siaran podcast “Keluar Sekejap” bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan, Khairy menegaskan Anwar sememangnya seorang pemimpin yang mempunyai banyak kualiti positif khususnya dalam pengucapan awam.
Bagaimanapun, katanya, jika kelebihan itu digunakan dalam keadaan membuat tuduhan terutamanya terhadap musuh politik ianya bagaikan satu senjata yang boleh menimbulkan syak wasangka kepada orang lain.
"Jika anda mahu buat tuduhan yang serius, parti X ambil duit judi yang agak spesifik.
"Maka saya rasa tak boleh buat insinuation (sindiran) lah.
"Kena back up (ada bukti). Mungkin dalam hal ini orang ramai nak melihat sama ada Muhyiddin Yassin ada keberanian untuk terus dengan saman fitnah," katanya dalam video berdurasi lebih satu jam yang dimuat naik di YouTube beberapa jam lalu.
Khairy mengulas jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bahawa SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan Anwar yang dibuat pada 5 Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut, Khairy turut menegaskan tuduhan yang dibuat oleh Anwar terhadap PN sebagai satu bentuk dakwaan yang berat dan sehingga kini tiada bukti yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut.
"Jika saya berada di tempat PN pun saya berasa marah.
"Saya tak suka politik begini. Kalau ada tuduhan, buat siasatan dan beritahu apa hasil siasatan tersebut," katanya.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini menuntut permohonan maaf daripada Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan gabungan itu akan berbincang dengan pasukan peguam mereka mengenai tindakan seterusnya.
Parti komponen PN, PAS juga menggesa Anwar memohon maaf kerana menyebarkan tuduhan palsu.