Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu melantik seorang menteri kewangan II bagi membantu melancarkan pentadbiran dan proses membuat keputusan selepas Kementerian Kewangan dikatakan "perlahan", kata Khairy Jamaluddin.
Bekas ahli Parlimen Rembau itu berkata, meskipun Anwar dianggap sebagai seorang ahli politik yang berbakat, ia tidak bermakna pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) itu mampu melaksanakan tugas sebagai perdana menteri dan menteri kewangan secara serentak.
Katanya, situasi ini menyebabkan banyak "fail bertimbun" apabila kerajaan tidak cukup pantas membuat keputusan.
"Percakapan yang saya dengan daripada perbendaharaan, banyak keputusan dan fail mula bertimbun dan slow (perlahan)," katanya dalam podcast “Keluar Sekejap” yang dihoskan bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Pada awal Disember, Anwar yang sudah dilantik sebagai perdana menteri, mengumumkan dirinya turut dilantik sebagai menteri kewangan.
Keputusan itu mengejutkan ramai pihak memandangkan pendirian PH termasuk Anwar sendiri menentang keputusan seorang perdana menteri memegang jawatan menteri kewangan kerana bimbang akan mengulangi kesilapan era pentadbiran Najib Razak.
Dalam pada itu, Khairy yang juga bekas menteri kesihatan mencadangkan Anwar melantik Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani sebagai menteri kewangan II ekoran latar belakangnya dalam bidang ekonomi dan kewangan.
Menurut Khairy, Johari sebelum ini ditawarkan jawatan sebagai menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim, namun naib presiden Umno itu menolak tawaran tersebut.
"Tetapi dia (Johari) tolak betul-betul sebelum pengumuman dibuat kerana dia berpendapat dia lebih efektif sebagai 'backbencher'.
"Mungkin dia nak selari dengan latar belakang dia, ekonomi dan kewangan.
"Justeru, dia sudah dipertimbang untuk dilantik sebagai menteri, jadi, saya sarankan, jika PM mahu mengambil seorang daripada luar dalam kalangan profesional sebagai menteri kewangan, Johari Ghani adalah pilihan tepat," tambahnya.