- Iklan -
Berita

Dakwa Pulau Pinang milik Kedah, Sanusi kena faham Perlembagaan, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata setiap pemimpin perlu menghormati perjanjian Perlembagaan yang telah diperkenankan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah dalam isu tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang masih hak Kedah.

Anwar berkata sebagai seorang Menteri Besar, Muhammad Sanusi seharusnya terikat dengan aspek perundangan dan faham mengenai Perlembagaan.

“Kadang-kadang bila seorang pemimpin berucap dia kena faham Perlembagaan, dia kena faham perjanjian.

“Walaupun ada perjanjian 300 tahun dulu, 1,000 tahun dulu, dia ada perjanjian terakhir penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan itu jelas.

“Nak ucap dari segi sandiwara politik itu soal lain tetapi sebagai seorang Menteri Besar, saya fikir wajar terikat dengan perundangan,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Anwar berkata setiap pemimpin perlu menghormati perjanjian Perlembagaan yang telah diperkenankan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah dalam isu tersebut.

Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata mengenai dakwaan kononnya terdapat tawaran kepada PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, ia tidak pernah dibincangkan dalam pucuk pimpinan.

“Saya tidak dimaklumkan sama sekali, saya tidak tahu sama sekali. Saya tidak tahu siapa, ketua ranting ke yang sampaikan, saya tidak tahu yang penting bukan daripada saya, bukan dari pimpinan,” kata Anwar. 

Ditanya sama ada dakwaan itu dikeluarkan oleh ahli PAS sendiri, Perdana Menteri berkata: “Itu tanya dia lah. Tidak sampai dan tidak pernah dibincangkan oleh pimpinan yang saya tanya dalam PH (Pakatan Harapan) atau dalam BN (Barisan Nasional)”. 

Sabtu lepas media melaporkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa tawaran itu muncul kerana PH khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS. 

Menurut laporan itu, Hadi berkata pihaknya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.