- Iklan -
Berita

Jawatankuasa peringkat tertinggi diwujud untuk pembangunan sukan

Jawatankuasa itu melibatkan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bercakap semasa sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bercakap semasa sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. Gambar: Bernama

Satu jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) diwujudkan untuk memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang akan mempengerusikan HLC itu pada 7 Jun ini, berkata jawatankuasa itu melibatkan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

"HLC ini untuk memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara yang mempunyai pembangunan sukan yang maju," katanya  selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalan Adam Adli Abdul Halim.

Zahid berkata HLC itu juga akan melihat kepada mencungkil bakat dalam kalangan anggota tentera, polis dan badan penguat kuasa supaya mereka dilibatkan dalam pembangunan sukan negara. 

Sementara itu, Zahid berkata mesyuarat JKPS hari ini bersetuju untuk mempelawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membiayai program sukan bagi memangkinkan pembangunan sukan negara.

Katanya JKPS juga mencadangkan peraturan pengecualian cukai kepada penaja dapat dipertingkatkan bagi menggalakkan penambahan jumlah penajaan.

Menurut Zahid, antara yang dibincangkan dalam mesyuarat JKPS hari ini semakan semula keanggotaan JKPS dan cadangan penubuhan Integriti Sukan Malaysia (MSI).

Turut dibincangkan adalah prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini serta cadangan pelaksanaan program penyediaan atlet ke arah Sukan SEA 2025 dan Sukan SEA 2027 merentasi kementerian.

Sementara itu, Yeoh berkata penubuhan HLC itu akan mempersiapkan atlet negara supaya tidak ketinggalan dalam Sukan SEA di Thailand pada 2025 dan Sukan Olimpik.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.