- Iklan -
Berita

Mahathir gesa Melayu keluar mengundi menjelang PRN

Bekas perdana menteri berkata tidak mengundi bermakna memilih calon 'berniat jahat'.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran kepada pengundi Melayu terhadap kelesuan politik, sambil menambah hasrat untuk tidak menunaikan tanggungjawab menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini bermakna mereka memilih calon “berniat jahat”.

“Ramai orang Melayu yang berpendapat politik membosankan. Oleh itu apa gunanya mengundi dalam pilihan raya.

“Sama ada politik bosan atau tidak, hakikatnya ialah undi menentu siapa jadi kerajaan.

“Jika orang Melayu tidak undi, yang akan jadi kerajaan ialah orang yang mendapat undi. Dan undi ini datang dari pengundi yang telah disogok oleh parti dan calon yang berhasrat mencari kekayaan dengan menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Mahathir yang dua kali memimpin negara selama 24 tahun, berkata tidak mengundi adalah sama dengan mengundi calon yang bergantung kepada sogokan.

“Kita sudah lihat bagaimana calon yang tidak baik apabila menang dan mendirikan kerajaan telah curi berbilion ringgit duit kerajaan, merosakkan parti dan pemerintah dan menjadi Malaysia sebagai ‘kleptokrasi’ iaitu negara yang diperintah oleh pencuri dan penjenayah.

“Mereka yang bergantung kepada sogokan bukanlah calon yang bersih. Jika mereka mendirikan kerajaan, mereka akan salah guna kuasa dan mencuri.”

Mahathir berkata mereka yang mahukan kerajaan yang baik harus mengundi calon yang "bersih", sambil menambah hanya pentadbiran yang dibentuk oleh pemimpin sedemikian akan berkhidmat demi kepentingan bangsa, negara dan agama.

“Jangan bosan dan tidak undi,” katanya. 

“Tidak undi bermakna mengundi calon yang berniat jahat, yang akan rosakkan masa depan pengundi.”

Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tahun ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.