Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan Ahli Parlimen Pendang Awang Solahuddin Hashim mengungkap istilah “zalim” dan membandingkan dirinya dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad adalah tidak masuk akal.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata tindakan tersebut didorong oleh niat jahat yang jelas dan nyata serta semua rujukan kepada Mahathir tidak sepatutnya dibuat oleh defendan (Awang Solahuddin).
"Defendan telah membangkitkan keadaan yang memburukkan dalam saman ini terhadap saya dan saya berhak mendapat ganti rugi teruk yang substantif," kata Anwar selaku plaintif menerusi jawapan kepada pembelaan yang difailkan semalam (30 Mei) berhubung kes saman fitnahnya terhadap Awang Solahuddin yang difailkan pada 3 Mac lepas.
Menteri Kewangan itu berkata perbandingan yang dibuat oleh defendan tidak boleh dipertahankan.
Anwar juga menegaskan bahawa penyiasatan dan pendakwaan oleh agensi penguatkuasaan adalah adil, bebas dan saksama tanpa rasa takut atau pilih kasih serta beliau tidak pernah campur tangan berhubung perkara itu.
Awang Solahuddin menerusi pernyataan pembelaan difailkan pada 4 April lepas mendakwa, plaintif ketika dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan salah guna kuasa sekitar 1998, terus memulakan Gerakan reformasi yang menggelar Mahathir sebagai ‘zalim’.
Dakwa Ahli Parlimen daripada PAS itu, jika dibandingkan tindakan kontroversi yang dibuat oleh kerajaan Dr Mahathir ketika itu dengan kerajaan plaintif ketika ini, jelas menunjukkan bahawa dari segi jangka masa, kerajaan Dr Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya enam tahun selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sedangkan pertuduhan terhadap seteru politik dibuat oleh plaintif dalam tempoh tiga bulan selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Perbandingan ini yang dirujuk oleh saya dalam menyatakan pandangan atau telahan bahawa plaintif dalam aspek jangka masa pendakwaan dibuat terhadap lawan politik daripada tarikh pelantikan, adalah 'lebih buruk' atau 'paling buruk' dalam sejarah Malaysia, mengatasi Mahathir.
“Saya tidak bermaksud untuk membandingkan plaintif dan Mahathir dari aspek lain yang tidak berkait dengan pendakwaan politik yang sedang diperkatakan oleh saya dalam kenyataan (di lobi Parlimen)," dakwa defendan dalam pembelaannya.
Anwar, 75, menyaman Awang Solahuddin pada 3 Mac lepas, berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Anwar di lobi Parlimen semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, 21 Februari lepas.
Menurut Anwar kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.
Beliau mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua kerajaan Persekutuan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.
Sementara itu, peguam S. N. Nair, yang mewakili Anwar memberitahu pemberita bahawa pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Aisyaf Falina Abdullah hari ini secara e-Review, mahkamah menetapkan 15 Jun untuk pengurusan kes selanjutnya.
"Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk memfailkan permohonan interlokutori sekiranya ada, selewat-lewatnya 15 Jun ini," kata peguam itu.