Program Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER) yang merupakan kerjasama pertama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kerajaan negeri Selangor, menawarkan penjimatan harga barangan asas serendah 30 peratus berbanding harga pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata JER menumpukan penjualan tujuh jenis barangan keperluan asas seperti ayam segar, beras, telur ayam, minyak masak, ikan, gula pasir dan daging sejuk beku.
“Bagi rakyat Selangor, JER adalah sinergi kepada dua program peringkat KPDN dan juga Jualan Ehsan kerajaan negeri Selangor.
“Sinergi ini rakyat mendapat keuntungan, beri satu berita baik kepada rakyat barangan asas keperluan ini boleh dibeli dengan penjimatan sehingga 30 peratus dan ini sangat membantu isi rumah memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program JER di Dewan Serbaguna Ampang Jaya hari ini.
Pada program tersebut, ayam akan dijual dengan harga RM10 seekor (1.6 kilogram (kg) hingga 2 kg); ikan RM6 (900 gram (g)); daging RM10 (900g); telur ayam RM10 sepapan; beras RM10 (5kg); minyak masak RM25 (5kg) dan gula RM2.50 (1kg).
Program JER itu adalah hasil penjenamaan semula Program Jualan Rahmah dan Jualan Ehsan Rakyat dengan inisiatif berkenaan dapat mengurangkan kos pelaksanaan, meningkatkan impak dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan kurang berkemampuan di Selangor.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Seorang suri rumah, Maryam Hassan, 61, berterima kasih kepada kerajaan kerana program berkenaan merupakan inisiatif yang baik bagi membantu golongan B40 di Selangor.
“Macam Program sebelum ini (Jualan Ehsan Rakyat dan Jualan Rahmah) makcik selalu turun sebab dapat beli barang dengan harga murah, boleh jimat. Telur RM10 sahaja, beras pun murah. Makcik harap dapat dikekalkan program begini,” katanya.
Sementara itu, seorang kontraktor Jimhaidi Arif, 53, berkata program itu dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumahnya sehingga lebih kurang 30 peratus.
“Mungkin boleh pelbagaikan lagi barang keperluan, tambah sayur-sayuran dan barangan basah lain juga supaya dapat menjimatkan lagi perbelanjaan kita,” katanya.