- Iklan -
Berita

Kerajaan lulus Bayaran Insentif Wilayah untuk anggota tentera, kata PM

Ia akan memberi manfaat kepada seramai 33,586 anggota tentera.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera menyertai sambutan Hari Merdeka ke-65 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos 2022.
Anggota tentera menyertai sambutan Hari Merdeka ke-65 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos 2022.

Kerajaan bersetuju meluluskan pemanjangan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) kepada anggota perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Julai ini.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Mesra Bersama Warga ATM Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi, Sabah di Putatan hari ini.

Anwar berkata kelulusan itu akan memanfaatkan seramai 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun lepas (2022).

Sebelum ini, katanya pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah menerima BISS dan BISM, namun kedua-dua insentif diberikan itu adalah lebih rendah berbanding kadar BIW yang diterima oleh pegawai perkhidmatan awam lain.

"Sedangkan, asas pembayaran ketiga-tiga insentif adalah sama iaitu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi serta sebagai galakan pegawai dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan, Timbalan Ketua Menteri III Shahelmey Yahya, Panglima Tentera Darat Jeneral Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan projek baharu melibatkan pembangunan semula 49 unit rumah terbiar untuk dijadikan 47 unit kuarters awam dan sebuah rumah transit Kementerian Pertahanan cawangan Sabah di Taman Lok Kawi bernilai RM25 juta.

Bagi projek sedia ada, Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM213 juta bagi membina Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) tambahan pelbagai kelas di Kem Lok Kawi.

Mengulas mengenai projek pembangunan di Putatan, Anwar berkata sebanyak RM67 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo Ke Sungai Kinarut, selain RM4.8 juta bagi membaik pulih serta menaik taraf aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

“Kerajaan juga komited membina sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Kawi dengan kos projek bernilai RM23 juta yang akan dibangunkan dalam kadar segera,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.