- Iklan -
Berita

Kerajaan serius, tekad selesai segera masalah prasarana di negeri, kata Anwar

Perdana menteri berkata, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dengan padu bagi memastikan gerak kerja serta pelan yang dirancang mampu dilaksanakan dengan sempurna.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Kerajaan berpendirian serius dan memasang tekad bagi menyelesaikan masalah prasarana antaranya melibatkan pendidikan, bekalan air dan jalan raya terutama di Sabah dengan kadar yang segera, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dalam usaha menyelesaikan masalah itu, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dengan padu bagi memastikan gerak kerja serta pelan yang dirancang mampu dilaksanakan dengan sempurna.

Katanya secara peribadi beliau komited dalam membantu Sabah menyelesaikan masalah itu apabila sering datang ke negeri berkenaan iaitu tiga kali sejak memegang jawatan perdana menteri dan melihat sendiri situasi melibatkan prasarana di Negeri di Bawah Bayu itu.

"Maka saya buat keputusan esok pagi insya-Allah saya buat mesyuarat tertinggi peringkat Persekutuan dan negeri untuk selesaikan masalah air bersama kerajaan negeri," katanya berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Penampang hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin dan turut hadir Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan 2023 dan Presiden KDCA Joseph Pairin Kitingan.

Anwar berkata tindakan juga sedang dibuat untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo dan kerja-kerja membaik pulih serta penyelenggaraan jalan di Sabah dilaksanakan dengan kadar segera demi manfaat rakyat di negeri itu.

Katanya bagi melicinkan perlaksanaan tersebut, sebahagian kerja-kerja yang terlibat dengan membaik pulih dan penyelenggaraan jalan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri mengikut peraturan dan dasar kewangan negara.

“Baru-baru ini juga peruntukan untuk membaiki jalan ini ditingkatkan, peruntukan tertinggi perbaiki jalan yang diberi adalah untuk negeri Sabah. Kita telah minta tindakan segera,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, Timbalan Ketua Menteri III Shahelmey Yahya juga menteri kerja raya negeri dilaporkan berkata 15 pakej kerja dalam Fasa 1, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, yang pada tahap 79.06% pembinaan, dijadual siap sepenuhnya pada hujung tahun depan.

Dalam ucapannya juga, Anwar memuji usaha dan peranan dimainkan Hajiji dalam menyelesaikan masalah prasarana dihadapi negeri itu, selain menyifatkan ia sebagai teladan yang baik sebagai seorang pemimpin yang komited menyelesaikan masalah dihadapi negeri serta rakyatnya.

Perdana Menteri berkata ketika tiba di Sabah kira-kira 1 pagi tadi, Hajiji begitu bersemangat menerangkan tentang situasi prasarana itu dan bertanya tentang projek yang diperoleh rakyat Sabah, malah secara berseloroh Anwar meminta ruang untuknya tidur dahulu sebelum menyambung perbincangan.

“Saudara Hajiji begitu prihatin. Inilah yang kita mahukan untuk pemimpin-pemimpin kita, bukan pemimpin minta umpamanya ada tak projek untuk saya, ada tak saham untuk saya. Tetapi saudara Hajiji (bertanya) ada tak projek tambahan untuk rakyat Sabah,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.