Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah permohonan parti Bersatu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan empat ahli Parlimen di Sabah.
Bersatu memfailkan tindakan undang-undang memohon supaya Johari mengosongkan empat kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili AGC berkata pihaknya akan membuat bantahan tersebut pada pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman 29 Ogos ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh.
“Tarikh pendengaran tersebut telah ditetapkan pada pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Peguam Chetan Jethwani mewakili Bersatu ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam pertubuhan parti itu pada 17 April lepas.
Parti itu yang bertindak sebagai pemohon menamakan Johari serta empat Ahli Parlimen terlibat iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.
Dalam permohonan itu, parti berkenaan memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lepas yang menyatakan responden kedua hingga kelima telah memberi penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perlembagaan Bersatu.
Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat ahli Parlimen itu telah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen berkenaan.