Kontrak bos Finas ditamatkan 4 bulan awal
Menurut agensi itu, ia sebagai langkah penstrukturan semula badan berkenaan agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air.
Terkini
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan kontrak Md Nasir Ibrahim sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) agensi itu tamat berkuat kuasa hari ini.
Perkembangan itu juga menyaksikan salinan surat penamatan perkhidmatan tersebut sedang tular di media sosial.
Nasir dilantik sebagai CEO Finas bagi tempoh dua tahun bermula 1 November 2021 sehingga 30 Oktober 2023.
Bagaimanapun, Finas dalam satu kenyataan menyebut, keputusan menamatkan kontrak Nasir dibuat sebagai langkah penstrukturan semula badan berkenaan agar dapat membawa perubahan kepada industri perfileman tanah air.
"Penstrukturan ini akan membabitkan penjajaran semula atau 'recalibration' ke atas dasar, program dan aktiviti industri kreatif terutamanya industri perfileman.
"Inisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem Malaysia menghasilkan filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran tempatan dan antarabangsa yang tinggi."
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas Rozita Waty Ridzuan menjalankan tugas CEO sehingga jawatan berkenaan diisi.
Sebelum ini pelantikan Nasir dibuat bagi menggantikan bekas CEO Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang meletakkan jawatan dan mengakhiri tugas berkuat kuasa pada 15 Oktober 2021.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.