- Iklan -
Berita

Teliti semula syarat tetapkan pemaju perumahan sedia rumah mampu milik, kata PM

Setiap pemaju perlu membina sekurang-kurangnya 30% rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan perumahan kos rendah Pantai Permai di Pantai Dalam merupakan tempat tinggal golongan B40 di Kuala Lumpur.
Bangunan perumahan kos rendah Pantai Permai di Pantai Dalam merupakan tempat tinggal golongan B40 di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneliti semula syarat yang menetapkan pemaju perumahan untuk menyediakan kediaman mampu milik dalam setiap projek mega yang dibangunkan.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata langkah itu perlu memandangkan syarat yang ditetapkan iaitu membina sekurang-kurangnya 30% rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan tidak mengikut jadual dan skala yang ditetapkan.

“Ini memang dasar sedia ada, tetapi ia tidak menepati dari segi kelajuan dan skala yang ditetapkan.

“Sebab itu saya minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk melihat semula dan mengenakan syarat baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur, di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata setiap pemaju perumahan perlu mematuhi syarat tersebut bagi memastikan setiap projek perumahan mega turut menyediakan rumah mampu milik agar golongan berpendapatan sederhana mampu memiliki kediamananwar sendiri. 

Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan swasta untuk membina sekurang-kurangnya 30% rumah mampu milik dalam projek perumahan mega sejak 1981.

Anwar berkata pembinaan rumah mampu milik amat bermakna kepada golongan berpendapatan sederhana kerana isu pemilikan rumah merupakan masalah yang menekan golongan itu.

Menurutnya, kira-kira 200,000 unit rumah berharga RM300,000 dan ke bawah diperlukan bagi memenuhi permintaan perumahan penjawat awam di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kejatuhan mata wang ringgit ketika ini bukan disebabkan Malaysia tidak mempunyai “Menteri Kewangan sepenuh masa”. 

“Suruh orang yang cadang itu baca laporan ekonomi dan kewangan bukannya laporan PAS,” katanya mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat Mohd Syahir Che Sulaiman yang mendakwa bahawa kejatuhan ringgit disebabkan Malaysia tidak memiliki Menteri Kewangan sepenuh masa.

Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata penyusutan nilai ringgit sejak Februari 2023 adalah rentetan daripada pelbagai krisis yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan keadaan itu berada di luar kawalan kerajaan.

Sejak awal 2023, menurut Rafizi AS menghadapi beberapa isu antaranya keruntuhan Silicon Valley Bank (SVB) dan kini persetujuan yang belum dicapai berhubung had paras hutang negara.