- Iklan -
Berita

Kes denggi meningkat 7.9%, 3 kematian dilaporkan

Bagaimanapun, bilangan lokaliti ‘hotspot’ menurun kepada 72 berbanding 77 pada minggu sebelumnya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan sukarelawan menjalankan aktiviti ‘fogging’ untuk memerangi penularan denggi.
Gambar fail menunjukkan sukarelawan menjalankan aktiviti ‘fogging’ untuk memerangi penularan denggi.

Jumlah kes deman denggi meningkat 7.9% kepada 2,638 kes pada Minggu Epidemiologi ke-21 (ME21) iaitu bagi tempoh 21 Mei hingga 27 Mei, berbanding 2,444 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiga kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada ME21.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME21 meningkat 164.4% kepada 46,257 kes berbanding 17,496 kes bagi tempoh sama 2022, manakala 31 kematian akibat komplikasi dilaporkan berbanding 10 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Trend kes denggi bagi 2023 adalah lebih tinggi berbanding trend kes bagi median lima tahun dan 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti ‘hotspot’ pada ME21 menurun kepada 72 berbanding 77 pada minggu sebelumnya, dengan 53 lokaliti berada di Selangor, Pulau Pinang (8), Sabah (5), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (4) serta masing-masing satu lokaliti di Kedah dan Perak. 

Beliau berkata bagi survelan chikungunya, tiga kes direkodkan pada ME21 dengan dua kes dari Selangor dan satu kes dari Kedah dengan jumlah kumulatif kes hingga kini adalah 134 kes. 

Menurutnya bagi survelan zika pula, 1,139 sampel darah dan 53 sampel urin telah dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan kes demam denggi dalam jarak 200 meter serta status wabak satu kawasan kini dapat diakses melalui aplikasi iDengue atau pautan laman sesawang iDengue di https://idengue.mysa.gov.my/. 

"Jarak terbang nyamuk aedes adalah dalam radius 200 meter dan sekiranya terdapat kes demam denggi di sesebuah kawasan, nyamuk infektif akan membawa virus denggi dalam jarak sekitar 200 meter dari rumah kes," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.