- Iklan -
Berita

Peranan Ibrahim Ali sebelum Anwar dipecat menurut Mahathir

Bekas perdana menteri mengulas kenyataan ahli politik yang lantang itu tentang apa sebenarnya berlaku.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersama presiden Putra Ibrahim Ali. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersama presiden Putra Ibrahim Ali. Gambar: Bernama

Dr Mahathir Mohamad tidak boleh mengimbau kepada satu peristiwa di mana ahli politik Ibrahim Ali bertindak menjadi “orang tengah” antara dirinya dan Anwar Ibrahim sebelum bekas anak didiknya itu dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan semua jawatan lain dalam Umno pada September 1998.

Apa yang jelas dalam ingatannya sehingga kini adalah suasana yang berlaku pada malam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno apabila beliau mendedahkan perbuatan dan kesalahan moral Anwar dan memberikan peluang kepada timbalannya ketika itu untuk menjawab dan membela diri di hadapan para pimpinan parti.

Menurut Mahathir, ketika saat itu, Ibrahim yang juga merupakan orang kuat Umno negeri Kelantan menjadi individu pertama yang menolak Anwar dan tidak boleh menerima semua pendedahan perbuatan yang dinyatakan dalam mesyuarat tersebut.

“Dia tepuk meja, marah bukan main terhadap Anwar.

“Itu saya ingat, tentang dia cakap nak jadi orang tengah tu saya tak ingat lah. Mungkin dia buat,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow di Putrajaya, Rabu lalu.

Sebelum ini, tular klip video berdurasi sembilan minit di TikTok dan aplikasi WhatsApp menunjukkan Ibrahim mengimbau kembali kejadian di belakang tabir yang berlaku sebelum pemecatan Anwar. 

Ibrahim dan Anwar berkenalan rapat selepas terlibat dalam gerakan mahasiswa dan terlibat dalam demonstrasi pelajar pada 1970-an, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin berkenaan ditahan selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting.

Dalam video tular yang dipercayai dirakam pada tahun 2012 ketika Ibrahim berceramah dalam program sebuah badan bukan kerajaan (NGO) anti Anwar, beliau  mendakwa pernah ke kediaman rasmi perdana menteri lalu memeluk Mahathir sambil menangis dan merayu supaya “memberi peluang sekali lagi kepada Anwar”.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai “lawatan” mengejut Ibrahim ke kediamannya suatu ketika dahulu, Mahathir berkata beliau tidak mengingati peristiwa itu pernah berlaku.

“Yang itu saya tak ingat, nak pertahankan Anwar itu saya tak ingat,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.