- Iklan -
Berita

Ibu tunggal mahu bina semula kehidupan selepas kematian suami akibat Covid-19

Walaupun banyak cabaran, Nuraida Abdul Ghani terpaksa menempuhinya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Noraidah Abdul Ghani ditemani anaknya Abdul Rahman, 10, melakukan rutin harian membersihkan kandang kucing di Serendah, Rawang.
Noraidah Abdul Ghani ditemani anaknya Abdul Rahman, 10, melakukan rutin harian membersihkan kandang kucing di Serendah, Rawang.

Di Serendah, Selangor, taman perumahan Desa Melur terletak di kawasan paling dalam.

Penghujung taman itu dikelilingi bukit-bukau yang hijau dan tiada lagi penempatan manusia selepas itu.  

Salah sebuah rumah di taman itu didiami oleh Nuraida Abdul Ghani, seorang suri rumah berusia 50 tahun, sejak 11 tahun lepas. 

Di rumah itu dia dan arwah suami membesarkan tujuh orang anak mereka.

Suaminya Ahmad Rosdi, meninggal pada 2021 akibat jangkitan Covid-19.

Dia berhenti kerja pada Februari tahun itu kerana ingin menumpukan mengikut jemaah tabligh melakukan kerja-kerja dakwah di Brazil.

"Arwah dan seorang lagi kawannya tidak dapat melepasi imigresen untuk ke sana.

Noraidah Abdul Ghanj, 50, ibu tunggal yang cekal membesarkan tujuh anaknya selapas kematian suami akibat Covid19 di Serendah, Rawang.
Noraidah Abdul Ghanj, 50, ibu tunggal yang cekal membesarkan tujuh anaknya selapas kematian suami akibat Covid19 di Serendah, Rawang.

“Ada juga beberapa jemaah tidak dapat ke Sepanyol dan akhirnya mereka keluar berdakwah empat bulan di Kuala Kangsar," kata Nuraida membuka cerita.

Beberapa hari selepas kepulangan Rosdi, badan lelaki itu mula terasa panas. 

Demam semakin teruk sehingga badan menjadi lenguh.

Dua minggu selepas itu, Rosdi pulang ke negeri abadi. 

Ketika itu, Covid-19 masih melanda negara.

Bahkan, di taman perumahan itu pun menyaksikan beberapa kematian akibat Covid-19 sebelum Rosdi.

"Urusan jenazah banyak dibantu oleh jiran dan jemaah tabligh. 

“Ada anak-anak yang tidak sempat bertemu dengan arwah kerana berada di madrasah," katanya.

Setelah kematian, Nuraida yang juga bekas guru Kafa di Damansara Damai cuba bangkit untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya. 

Dia tidak lagi bekerja setelah pengurusan Kafa di bawah jabatan agama negeri menetapkan syarat baharu untuk guru lantikan sepertinya.

"Saya tidak boleh mengajar di sekolah cawangan dan perlu pindah ke sekolah ibu pejabat yang agak jauh.

“Jadi saya buat keputusan untuk berhenti dan menjadi suri rumah sepenuh masa," katanya. 

Anak sulung berusia 23 tahun manakala anak bongsunya darjah empat.

Kini wanita itu hanya ditemani anak bongsu di rumah, memandangkan anak yang lain sedang menyambung pengajian di maahad-maahad tahfiz di Selangor. 

Noraidah Abdul Ghani melihat stok produk frozen yang semakin berkurangan dalam peti sejuknya. Beliau merupakan ejen jualan pau sejuk beku bagi menambah pendapatannya sebagai suri rumah di Serendah, Rawang.
Noraidah Abdul Ghani melihat stok produk frozen yang semakin berkurangan dalam peti sejuknya. Beliau merupakan ejen jualan pau sejuk beku bagi menambah pendapatannya sebagai suri rumah di Serendah, Rawang.

Selama perkahwinannya dengan arwah, Nuraida tidak memandu kereta meskipun mempunyai lesen. 

Setelah kematian, dia nekad untuk mengasah semula kemahiran memandu.

Dia bernasib baik kerana kereta arwah masih elok dan boleh diguna untuk menghantar dan mengambil anak-anak.

Syawal lalu, dia membawa keluarga balik ke kampung halaman di Kelantan bertemu sanak-saudara setelah sekian lama.

Nuraida kini meneruskan kehidupan dengan wang bulanan Perkeso arwah suaminya. 

Pada awal kematian suami, keluarganya juga menerima sumbangan daripada kariah masjid.

"Ada pihak yang membayar infak untuk yuran sekolah anak-anak.

“Cuma bulan ini anak-anak perlu membeli kitab dan kelengkapan untuk permulaan kelas," katanya.

Namun dia sedar bahawa keluarganya tidak hanya boleh bergantung kepada sumbangan luar. 

Untuk itu, Nuraida pada hujung tahun lalu memulakan perniagaan kecil-kecilan.

"Saya menerima sumbangan peti sejuk daripada orang persendirian, dan sedikit modal permulaan.

“Saya mula mengambil pau dan karipap sejuk beku dan menjual secara kecil-kecilan.

“Alhamdulillah jiran-jiran banyak menyokong," katanya.

Nuraida ingin menghabiskan sisa hidupnya di taman perumahan itu, namun pemilik rumah bercadang ingin menjual rumah tersebut.

Dia dimaklumkan oleh saudara terdekat bahawa rumah itu sudah diiklankan.

"Sekiranya ada pembeli, tuan rumah akan maklumkan pada bakal pembeli bahawa rumah ini sedang disewa. Namun setakat ini tiada lagi pembeli.

"Jika saya terpaksa pindah pun, saya akan mencari rumah dalam taman perumahan ini juga," katanya.

Dalam pada itu, dia berharap agar semua anaknya meneruskan legasi arwah dalam melakukan kerja-kerja dakwah, dan menjadi insan yang menyumbang kepada agama. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.