- Iklan -
Berita

PM perlu berani menentang LGBT secara terbuka, kata badan pemikir

Badan pemikir Iris Institute berkata Anwar Ibrahim selaku perdana menteri, harus menjelaskan pendirian Malaysia supaya negara lain faham dan tidak timbul persepsi negatif.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan seorang memegang bendera pelangi, simbol yang sering digunakan untuk mewakili gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender atau LGBT, semasa acara di Filipina pada Jun 2022. Gambar: AFP
Gambar fail menunjukkan seorang memegang bendera pelangi, simbol yang sering digunakan untuk mewakili gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender atau LGBT, semasa acara di Filipina pada Jun 2022. Gambar: AFP

Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu tampil menjelaskan pendirian Malaysia secara terbuka berhubung isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), ketika syarikat multinasional memperkenalkan produk berdasarkan gaya hidup yang dianggap bertentangan di negara majoriti Islam seperti Malaysia.

Ini susulan serbuan oleh Kementerian Dalam Negeri dan rampasan koleksi jam tangan berwarna pelangi, “Pride Collection” oleh pengeluar terkenal dari Switzerland, Swatch. 

Walaupun ramai umat Islam di media sosial kelihatan menyokong langkah itu, ada juga yang bertanyakan bagaimana produk yang dikaitkan dengan LGBT boleh memasuki negara ini.

Bercakap dengan MalaysiaNow, Ketua Pegawai Eksekutif Iris Institute Syed Ahmad Israa' Syed Ibrahim, berkata pendirian itu perlu diungkapkan sendiri oleh Anwar selaku pemimpin utama Malaysia agar negara luar terutama dari Barat faham dan menghormati adat, budaya serta status negara ini sebagai negara Islam.

Katanya, sekiranya isu ini gagal ditangani dengan betul, hingga mengakibatkan fahaman LGBT tersebar di Malaysia, boleh menjejaskan lagi sentimen Melayu terhadap kerajaan yang mana ia sudah tercalar disebabkan isu lain termasuk isu kalimah Allah.

Beliau berkata, sebagai negara yang berdaulat, Malaysia mempunyai hak untuk memiliki pendirian sendiri, mengikut kehendak majoriti rakyatnya, yang mana ia perlu disuarakan oleh perdana menteri, termasuk menolak fahaman LGBT tersebar di negara ini.

Katanya, tidak salah untuk Malaysia tegas dan mengikuti pendirian Qatar yang tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyokong LGBT secara terbuka, seperti mana negara itu lakukan ketika berlangsungnya kejuaraan Piala Dunia FIFA 2022 pada tahun lalu.

"Sama dengan pegangan majoriti rakyat Malaysia, di sini kita melihat ia sebagai satu nilai yang terpesong," katanya.

"Justeru, jika kerajaan membiarkan perkara ini berlaku, ini adalah satu petanda bahawa kerajaan tidak serius dalam memelihara kedaulatan dan nilai dalam negara ini.”

Mengulas lanjut, Syed Ahmad Israa’ berkata, pendirian terhadap isu ini tidak wajar disuarakan oleh pemimpin di peringkat bawahan termasuk ahli politik pro-kerajaan kerana ia berpotensi mengundang kecaman.

Pada Mac, pemimpin DAP, Nga Kor Ming menyuarakan ketegasan kerajaan menentang fahaman LGBT di Malaysia, namun beliau dikecam teruk oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) susulan kenyataan yang dibuatnya. 

“Maka, PM yang patut tampil terangkan kenapa pentingnya Malaysia sebagai negara Islam menolak LGBT agar negara luar faham dan tidak mendatangkan persepsi negatif.

"Kemudian ia disusuli dengan tindakan oleh Menteri Kabinet bagi mencerminkan pendirian yang dinyatakan PM," tambah Syed Ahmad Israa’.

Bulan lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan serbuan di 11 butik Swatch dan merampas jam tangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan LGBT.

Serbuan itu mengundang pelbagai reaksi terutamanya di media sosial yang mana majoriti umat Islam menyokong tindakan itu manakala terdapat juga pihak yang mempersoalkan bagaimana produk yang mengandungi fahaman LGBT berjaya dibawa masuk ke Malaysia.

Dalam pada itu, hasil carian MalaysiaNow mendapati syarikat terkemuka Apple, kini juga sedang mempromosikan produk yang diinspirasikan LGBT untuk dijual di Malaysia menerusi laman sesawang rasmi Apple.

Berdasarkan paparan iklan itu, produk tersebut ialah "Pride Edition Sport Band" yang merupakan aksesori bagi jam pintar Apple Watch yang mana ia dijual pada harga RM199.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa cawangan Machines, outlet yang menjual produk Apple, sekitar Lembah Klang, mendapati aksesori itu tidak dipamerkan secara fizikal.

Menerusi laman sesawang rasmi Apple global, ia jelas dinyatakan aksesori itu dihasilkan bagi meraikan komuniti LGBT, namun laman sesawang Apple Malaysia tidak mengandungi kenyataan itu dan hanya menjual produk tersebut.

Dalam pada itu, bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap syarikat Apple di Malaysia, seperti yang dilakukan terhadap Swatch sebelum ini.

Katanya, ini secara langsung mencerminkan sikap layanan dua darjat oleh kerajaan.

"Kerajaan perlu bersikap adil dan konsisten.

"Saya bukan kisah sangat mengenai isu LGBT, tetapi apabila kita cakap tentang layanan adil, kerajaan tidak boleh pilih bulu ketika mengambil tindakan," katanya kepada MalaysiaNow.