- Iklan -
Berita

Menteri kata tiada kenaikan harga barang, realiti di bawah berbeza

Pemain industri berkata mereka bergelut untuk menguruskan kenaikan harga makanan walaupun dengan kawalan harga ke atas beberapa barangan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Peniaga menimbang makanan hasil laut untuk pelanggan di pasar basah di Tanjung Karang, Selangor, 4 Mei.
Peniaga menimbang makanan hasil laut untuk pelanggan di pasar basah di Tanjung Karang, Selangor, 4 Mei.

Harga barangan terutama makanan meningkat naik secara keseluruhannya sejak enam bulan lalu walaupun ada barangan yang dikawal harga, menurut pemain industri makanan dan minuman.

Pemilik restoran “Makan Place” di Puncak Alam, di Selangor, Mohd Izham Fahmi Yaakob berkata, walaupun ada barangan yang tidak berada dalam senarai harga kawalan menyaksikan kenaikan harga. 

"Ada ayam yang naik sehingga RM10.50 sekilogram.

“Sayur-sayuran rata-rata memang naik harga," katanya kepada MalaysiaNow. 

Sebagai peniaga makanan, pihaknya memang terasa dengan kenaikan harga. 

Sebagai contoh, restorannya memerlukan sebanyak 15 kilogram minyak masak sehari untuk menggoreng makanan.

"Macam mana kami hendak menjawab pelanggan apabila kita mengenakan harga yang lebih tinggi?"

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub baru-baru ini berkata kementeriannya tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga barang atau ketiadaan bekalan barangan sepanjang tiga musim perayaan sebelum ini.

“Jika dikatakan ada kenaikan mendadak bagi barangan asas, itu tidak benar sama sekali.

"Kita mengawal 43 jenis barangan kawalan, 11 harga kita kawal dan satu pun tidak naik," katanya di Dewan Rakyat baru-baru ini. 

Seorang peniaga cendol kecil-kecilan di Shah Alam, Selangor Maazan Mahamat Ajmi memberitahu beliau terpaksa menaikkan harga jualan kerana kenaikan barangan mentah.

"1 liter santan sawit semasa kami mula berniaga zaman dulu cuma RM7.68 dan sekarang RM10.99.

"Harga cendol saiz medium dahulu RM3. Untuk mengekalkan harga, kami jual saiz kecil pada harga itu, dan saiz medium sekitar RM4-5," katanya. 

Bahan-bahan lain seperti gula merah, gula melaka, tepung, jagung dan kacang semuanya menyaksikan kenaikan.

"Tiada aduan tak bermakna harga barang tak naik," tambah lelaki itu.

Menurut data daripada Indeks Harga Pengguna, inflasi pada suku pertama 2023 meningkat 3.6% kepada mata 129.7 berbanding 125.2 suku tahun sama sebelumnya.

Laporan Jabatan Statistik menunjukkan 201 item atau 87.4% daripada 230 item makanan merekodkan kenaikan harga pada Mac 2023 berbanding 2022.

Antara item yang meningkat naik ialah daging, susu dan telur serta roti dan bijirin. 

Pada Aidilfitri tahun 2022, daging tempatan ditetapkan pada RM39 sekilogram dan tahun ini, ia naik kepada RM41 sekilo. 

Dalam pada itu, Mazlina Kamarudin, pengarah urusan Ayam Bismi, syarikat penternak ayam tempatan berkata, kenyataan Salahuddin adalah logik jika mengambil kira harga siling yang ditetapkan untuk ayam, dan subsidi yang diberikan kerajaan.

"Harga ayam pada RM9.40 tidak mampu meliputi kos tetapi kita disekat oleh harga kawalan. Jadi memang harga tidak akan naik.

"Kerajaan janji sehingga bulan Jun ini akan memberikan subsidi.

“Tetapi selepas bulan Jun, apabila subsidi tiada, mungkin harga akan naik," katanya.