- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak permohonan reman SPRM terhadap ketua polis daerah

Majistret menolak permohonan reman kerana terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh baru-baru ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.
Logo Suruhanjaya Pencegaahan Rasuah Malaysia di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, 1 Mac 2022.

Mahkamah Majistret Kuantan menolak permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang ketua polis daerah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah. 

Pada prosiding itu, Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan reman yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rifah Izzati Abdul Mutalif mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Peguam Datuk Bob S Arumugam semasa ditemui berkata majistret membuat keputusan itu selepas menerima hujahan beliau yang mengguna pakai keputusan Mahkamah Tinggi bahawa SPRM mempunyai akta sendiri dalam mengemukakan permohonan reman. 

Keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh pada 19 Mei lepas menyatakan Seksyen 49 Akta SPRM adalah undang-undang yang memberi kuasa khusus kepada suruhanjaya itu termasuk dalam situasi penyiasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam. 

Terdahulu, pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu tiba di mahkamah kira-kira 8.58 pagi dengan memakai baju lokap SPRM serta diiringi petugas suruhanjaya berkenaan. 

Semalam, media melaporkan penahanan pegawai kanan polis itu selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang di Kuantan, berhubung dakwaan menerima rasuah dianggarkan bernilai lebih RM1 juta yang dikatakan berlaku sejak 2017 hingga 2022. 

Suapan itu didakwa bagi melindungi pusat hiburan daripada tindakan penguatkuasaan yang boleh mengganggu perniagaan mereka. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi