- Iklan -
Berita

Menjelang lawatan Jokowi, Putrajaya diingatkan jangan kompromi tuntutan pertikaian maritim dengan Jakarta

Mereka mengingatkan kerajaan Malaysia tidak berkompromi dengan sebarang penyelesaian yang merugikan negara.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Indonesia Joko Widodo. Gambar: Reuters
Presiden Indonesia Joko Widodo. Gambar: Reuters

Pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia mengingatkan kerajaan agar tidak menandatangani sebarang perjanjian baru untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang lama berlarutan dengan Indonesia menjelang lawatan Presiden Joko Widodo hari ini, MalaysiaNow diberitahu oleh sumber yang mengetahui tentang isu itu. 

Mereka berkata Malaysia tidak boleh berkompromi dengan tuntutan Jakarta yang membabitkan kawasan di Laut Sulawesi dan di bahagian paling selatan di Selat Melaka.

Mereka juga memberi amaran kepada Putrajaya bahawa sebarang perubahan daripada dasar kerajaan terdahulu berhubung kedua-dua kawasan itu mesti melibatkan penyertaan kerajaan Johor dan Sabah.

Ini kerana kepentingan maritim kedua-dua negeri itu akan terjejas teruk jika penyelesaian yang tidak menguntungkan negara diterima kerajaan.

"Jika Malaysia membuat sebarang kompromi, bukan sahaja Johor akan kehilangan wilayah lautnya, ia juga akan menghadapi kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritimnya termasuk yang berkaitan dengan Pelabuhan Tanjong Pelepas," kata sumber di Wisma Putra kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Sumber itu menambah, Pelabuhan Tawau Sabah turut akan terjejas oleh sebarang perjanjian yang melepaskan tuntutan Malaysia di Laut Sulawesi. 

"Pada masa sama, isu sempadan maritim di Pulau Sebatik yang menjadi fokus pertikaian maritim di Laut Sulawesi tidak dapat diselesaikan kerana Indonesia tidak berganjak daripada kedudukannya," katanya.

Sumber itu juga memberitahu MalaysiaNow, pakar yang terlibat dengan Wisma Putra untuk mengkaji dua pertikaian maritim menyarankan Putrajaya untuk menolak cadangan yang disifatkan mereka akan hanya mengehadkan kedaulatan Malaysia di bahagian paling selatan di Selat Melaka. 

"Mereka merasakan Malaysia mesti berunding dengan Singapura sebelum membuka sebarang rundingan dengan Indonesia. 

“Ini kerana Singapura telah bersetuju dengan Indonesia mengenai sempadan maritim di sana, walaupun hakikatnya Malaysia mempunyai kes untuk membuat tuntutannya di wilayah sama," katanya. 

Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi sedang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini, di mana beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadualkan menyaksikan pemeteraian beberapa MoU dan perjanjian antara kedua-dua negara.

Setakat ini, MalaysiaNow masih belum dapat mengesahkan sama ada perjanjian itu termasuk isu pertikaian maritim antara dua negara tersebut.

'Malaysia akan rugi' 

Sementara itu, seorang bekas diplomat Asean memberitahu MalaysiaNow, Malaysia berdepan kehilangan kawasan laut yang lebih luas sekiranya bersetuju dengan sebuah cadangan untuk menyelesaikan pertikaian di Selat Melaka. 

Katanya, cadangan penyelesaian itu berdasarkan perjanjian sempadan maritim yang telah pun dicapai antara Indonesia dan Singapura. 

Tambahnya lagi, kajian oleh pakar maritim mendapati Malaysia layak menuntut kawasan dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai Johor. 

"Inilah sebabnya kerajaan Johor wajar turut serta dalam sebarang rundingan untuk menyelesaikan pertikaian itu." 

Difahamkan pakar maritim juga menentang satu lagi cadangan membabitkan pertikaian dengan Indonesia di Laut Sulawesi, kerana percaya ia akan menjejaskan kepentingan Malaysia dan juga Sabah.

Pertikaian itu berpusat di pantai Pulau Sebatik, di mana sebuah jeti Indonesia dibina. 

Menurut sumber, pakar memetik keputusan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 yang menamatkan pertikaian berdekad Malaysia-Indonesia berhubung pemilikan Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan di Laut Sulawesi. 

ICJ memutuskan bahawa kedua-dua pulau itu adalah milik Malaysia.

"Mahkamah membuat kesimpulan bahawa Perkara IV menentukan sempadan antara kedua-dua pihak sehingga ke wilayah paling timur (eastern extremity) Pulau Sebatik dan tidak menetapkan sebarang garis peruntukan lebih jauh ke arah timur," kata ICJ dalam keputusannya.

Berdasarkan keputusan ini, pakar maritim berpandangan dalam konteks sempadan maritim, "eastern extremity" merujuk kepada "low-water line" (kedudukan air laut pada surut yang terendah), di mana sempadan sesebuah negara ditentukan.

“Oleh itu, mereka menasihatkan kerajaan untuk menolak garis sempadan yang dicadangkan kerana ia tidak meliputi ‘low-water line’ Pulau Sebatik,” kata sumber itu sambil menambah Indonesia tidak akan bersetuju untuk menetapkan garis sempadan maritimnya dari Pulau Sebatik kerana ini akan hanya menunjukkan jeti yang dibina republik itu menceroboh wilayah Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.