- Iklan -
Berita

SPRM bongkar sindiket ‘palsukan’ sijil kelahiran

Difahamkan doktor tertentu menandatangani borang kelahiran mengesahkan kelahiran pemohon di klinik berkenaan meskipun tidak berlaku.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang doktor dipercayai terlibat dalam memalsukan dokumen sijil lahir bagi mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.
Seorang doktor dipercayai terlibat dalam memalsukan dokumen sijil lahir bagi mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 individu termasuk dua pegawai agensi kerajaan, empat doktor perubatan swasta dan enam orang awam kerana dipercayai terlibat dalam memalsukan dokumen sijil lahir bagi mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.

Menurut sumber, semua suspek dalam lingkungan usia 42 hingga 81 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam dalam satu serbuan berasingan yang dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Tambah sumber, pemohon (orang awam) akan membayar wang rasuah sama ada secara peribadi atau menerusi orang tengah kepada doktor di klinik-klinik tertentu bagi mendapatkan surat pengesahan kelahiran yang palsu, di mana anak yang akan didaftarkan sebenarnya tidak dilahirkan di klinik tersebut.

Difahamkan doktor tertentu akan menandatangani borang kelahiran bagi mengesahkan kelahiran pemohon di klinik berkenaan meskipun ianya tidak berlaku. 

“Kemudian dengan pengesahan tersebut pemohon atau orang tengah akan menguruskan pendaftaran kelahiran anak dan sekiranya terdapat keraguan pihak berkaitan akan memaklumkan kepada pemohon bahawa permohonan tidak dapat diproses dan perlu menunggu tindakan lanjut,” kata sumber. 

“Kaunter agensi kerajaan kemudian akan merujuk permohonan ini ke Bahagian Siasatan Khas untuk dibuka fail siasatan.”

Menurut sumber itu lagi, pemohon atau orang tengah kemudian akan cuba berurusan dengan pegawai agensi kerajaan bagi mendapatkan status permohonan dan sekiranya mereka ditolak atau disenaraihitamkan mereka akan menawarkan sejumlah wang rasuah kepada pegawai terlibat untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan itu.

Difahamkan jumlah bayaran rasuah yang diterima adalah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi setiap kes.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambah Azmi, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur hari ini kira-kira jam 8.30 pagi untuk urusan permohonan reman.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi