- Iklan -
Berita

Aktivis pro PH gesa kerajaan bentangkan Kertas Putih Pertanian

Mazlan Aliman berkata berjuta petani akan terjejas sekiranya isu-isu berkaitan keterjaminan makanan tidak ditangani.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang petani dilihat sedang meracun hasil tanamannya daripada makhluk perosak di tengah sawah di Kampung Alor Senibong, Langgar, Kedah.
Seorang petani dilihat sedang meracun hasil tanamannya daripada makhluk perosak di tengah sawah di Kampung Alor Senibong, Langgar, Kedah.

Enam bulan selepas pentadbiran kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim, isu keselamatan makanan dilihat masih membelenggu negara dengan ketiadaan dasar konkrit bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Justeru, sebuah persatuan petani menggesa kerajaan untuk membentangkan Kertas Putih Pertanian untuk membincangkan dasar keselamatan makanan serta beberapa masalah yang dihadapi masyarakat peladang dan petani.

Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Mazlan Aliman berkata, desakan itu dibuat kerana golongan yang menjadi barisan hadapan penghasilan makanan negara itu kini merasai seperti diabaikan dan tidak nampak sebarang jalan inisiatif jelas dalam menyelesaikan isu dihadapi mereka.

Katanya, golongan itu patut menjadi antara tumpuan utama kerajaan dan perdana menteri yang sebelum ini berjanji untuk menoktahkan isu kemiskinan di negara.

"Kita perlu sedar bahawa isu keselamatan makanan adalah isu yang sangat penting, tetapi saya melihat seolah-olah fokus terhadap perkara ini tidak berada di landasan yang betul," katanya yang juga ahli Amanah kepada MalaysiaNow.

"Golongan peladang adalah satu masyarakat yang besar dan mereka mempunyai semangat gigih untuk memajukan sektor pertanian, tetapi bimbingan daripada kerajaan khususnya agensi dan jabatan agak tidak berfokus."

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang diterajui oleh Mohamad Sabu menerima markah paling rendah dalam permukiman Kabinet, sekali gus mencetuskan persoalan dalaman kalangan orang ramai sama ada presiden Amanah itu mampu menggalas tugas sukar tersebut.

Malah, ahli Parlimen Kota Raja itu sejak dilantik memegang portfolio menteri menerima kecaman hebat di media sosial akibat kegagalan beliau menangani masalah bekalan telur dan ayam yang berkurang hingga mendorong kenaikan harga kedua-dua bahan itu.

Menurut Mazlan, Kertas Putih Pertanian sewajarnya dibentangkan dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung pada masa ini, untuk membuktikan komitmen kerajaan menyelesaikan isu yang kini menjejaskan jutaan peladang dan petani di negara ini.

Katanya, pengesyoran itu dibuat apabila hanya Kementerian Kesihatan dijangka akan membentangkan Kertas Putih yang akan membincangkan isu melibatkan kesihatan.

Katanya, kegagalan untuk menyelesaikan isu berkaitan pertanian bakal mendatangkan impak yang begitu besar apabila ia menjejaskan jutaan peladang dan petani.

Justeru, Mazlan berkata, isu ini bukan saja melibatkan KPKM tetapi juga Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri.

"Sepatutnya, jemaah menteri perlu bersidang dan bincang dalam konteks apakah langkah yang perlu dibuat dan perlu ada satu kertas putih untuk dibentangkan.

"Kerana ini melibatkan jutaan masyarakat peladang kita dan kebanyakan mereka tergolong dalam pendapatan rendah (B40).

"Seperti yang disebut PM mengenai usaha nak menoktahkan kemiskinan, tapi bagaimana nak capai matlamat itu jika langkah-langkah kepada golongan miskin tidak dibuat?" soal beliau.

Pada masa sama, Mazlan bercadang supaya kerajaan mengambil pendekatan sama seperti pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dalam membentang Kertas Putih Felda bagi menerangkan usaha menyelesaikan isu membabitkan golongan peneroka.

"Kini fokus utama ialah sektor pertanian. Kita pun tak nampak apa-apa usaha positif bagi menghadapi cuaca ekstrem atau inovasi yang boleh difikirkan untuk hadapi suasana macam ini.

"Sebab itu perlu dibawa ke peringkat Kabinet sebelum diusulkan ke Parlimen untuk pemimpin sama-sama cari jalan penyelesaian," katanya sambil menambah isu ini sudah berlarutan sehingga berpuluh tahun.

Kertas Putih Felda dibentangkan oleh menteri ekonomi PH pada 2019, Mohamed Azmin Ali, yang bertajuk “Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda)”.

Intipati Kertas Felda Putih yang dibentangkan ketika itu membincangkan isu berkaitan sewaan tanah peneroka, program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baru, pengurusan ladang melalui pengukuhan koperasi Felda, penggunaan teknologi terkini dan memperkenalkan skim bantuan yang lebih fleksibel.

Selain itu, ia turut mengandungi usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan jati diri generasi Felda , memperkukuh peranan kepimpinan tanah rancangan, pelaksanaan projek perumahan dan penyediaan skim pewaris tanah untuk proses peralihan yang lebih lancar.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.