- Iklan -
Berita

Kerajaan lantik ketua audit negara baru

Wan Suraya Wan Mohd Radzi akan mengambil alih jawatan itu berkuat kuasa 13 Jun ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Wan Suraya Wan Mohd Radzi. Gambar: Twitter
Wan Suraya Wan Mohd Radzi. Gambar: Twitter

Kerajaan melantik Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai ketua juruaudit negara yang baru berkuat kuasa 13 Jun, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali hari ini, seminggu selepas persoalan dibangkitkan mengenai kekosongan berpanjangan jawatan tersebut.

Zuki dalam satu kenyataan berkata pelantikan Wan Suraya diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras dengan Perkara 105(1) Perlembagaan Persekutuan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kepada kepimpinan dan pengalaman luas sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” kata Zuki. 

Jawatan terakhir Wan Suraya adalah sebagai ketua pegawai eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM).

Minggu lepas, ahli Parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kekosongan itu, dengan mengatakan bahawa jawatan itu masih belum diisi sejak Nik Azman Nik Abdul Majid bersara pada Februari.

Mereka berkata perkara itu wajar diberi keutamaan kerana banyak hal ehwal negara tidak dapat dikendalikan tanpa ketua juruaudit negara.