Misteri undi Melayu dan pengundi pertama kali yang berusia 18 tahun (Undi 18) terjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, meskipun ada beberapa pertikaian mengenai peratusan undi.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri Semenanjung Malaysia, tumpuan sekali terarah kepada ribuan pengundi kali pertama.
Undi 18 di enam negeri itu akan membuang undi buat pertama kali.
MalaysiaNow bertemu dengan beberapa Undi 18 di sekitar Selangor baru-baru ini.
Mereka baru sahaja mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.
Rata-rata bercakap tentang keinginan menyambung pengajian.
Walaupun pemerhati dan ahli politik sering bercakap tentang penglibatan anak muda dalam politik, realiti di luar sana mungkin berbeza.
Dalam soal politik, kebanyakan mereka yang ditemui MalaysiaNow lebih bersahaja dan kasual, serta tidak terlalu melibatkan diri dengan isu-isu politik dalam negara.
Salah seorangnya ialah Muhd Arif Haikal yang tinggal di Hulu Kelang.
"Kami tak ambil tahu sangat isu-isu politik.
“Kalau di sekolah, kami banyak bercakap mengenai kawan-kawan, atau masa depan masing-masing," katanya.
Menurut pemuda itu, keluarganya juga tidak banyak bercakap mengenai politik dengannya.
Marcus Francis Anandan yang berasal dari Cheras, Selangor juga tidak banyak mendedahkan kecenderungan politiknya.
"Kami tak banyak bercakap, kalau ada pun tidak secara serius.
"Saya pun tak tahu lagi siapa yang akan saya undi, perlu lihat kepada suasana semasa," kata bekas pelajar St John Institution (SJI) itu.
Remaja wanita yang tinggal di Bukit Antarabangsa, Nur Ain Sofea pula berkata, perbualan tentang parti-parti politik sesama rakan selalunya mengundang perbalahan.
Justeru, dia lebih memilih untuk tidak bercakap mengenai isu-isu politik.
"Memang rasa teruja untuk mengundi pada PRN ini sebab pertama kali. Rasa dewasa dan layak untuk beri pandangan politik.
“Saya dan kawan-kawan ada ambil tahu sedikit-sebanyak mengenai ahli politik negara," katanya.
Sementara itu, pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata, golongan muda di bandar mungkin menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilihat liberal.
Namun satu masalah timbul apabila “harapan” kepada beliau datang bersekali dengan indoktrinasi mengenai “kejahatan” Umno.
"Ada konflik di sini yang tidak boleh selesaikan dengan propaganda sahaja, dan ini mungkin mengakibatkan mereka hilang keyakinan daripada 'harapan' itu.
"Apa akan jadi apabila Undi 18 hilang keyakinan?
“Mereka mungkin tidak mengundi," katanya merujuk kepada keberadaan Umno dalam kerajaan yang memungkinkan ketidakselesaan golongan tersebut.
Katanya, tindakan kerajaan yang ingin bertemu syarikat-syarikat media sosial mengenai penapisan politik bermakna kerajaan gusar mengenai hala tuju Undi 18.
Beliau merujuk kepada tindakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang ingin bertemu dengan pihak Telegram selepas sebelum ini beliau bertemu dengan pengurusan TikTok sejurus dilantik menganggotai Kabinet.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga dalam ucapan perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri Umno baru-baru ini mengimbau prestasi buruk parti itu dalam menawan undi anak muda.
“Daripada 5.8 juta pengundi baru dalam PRU15, kita nampaknya gagal mendapat kepercayaan mereka langsung.
“Tiada peningkatan undi ketara antara jumlah undi Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 dan PRU15," menurut Mohamad yang kini menteri pertahanan dalam kerajaan campuran.
Menurut Mak, di pihak Umno, parti Melayu itu kehilangan undi anak-anak muda selepas mereka memecat bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaludin.
"Ismail Sabri Yaakob boleh berjalan dan berborak bersama Khairy tetapi Zahid tidak boleh berbuat demikian jelas menunjukkan di mana kedudukan Umno di mata anak-anak muda."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.