- Iklan -
Berita

'Angka dari mana?' Radzi persoal Anwar dakwa 30,000 pelajar tak duduki SPM

Radzi Jidin turut meminta Anwar Ibrahim merujuk kenyataan menteri pendidikan beberapa hari lalu yang mengesahkan hanya 14,858 pelajar tidak menduduki peperiksaan itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
KPM menafikan sistem pemarkahan SPM 2022 diturunkan.
KPM menafikan sistem pemarkahan SPM 2022 diturunkan.

Bekas menteri pendidikan, Radzi Jidin hari ini membidas sindiran yang dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam yang mendakwa 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Bercakap pada sidang media di Parlimen, Radzi mempersoalkan dari mana Anwar memperoleh angka itu sedangkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sendiri beberapa hari lalu mengesahkan hanya 14,858 pelajar tidak menduduki SPM.

Radzi yang juga ahli Parlimen Putrajaya turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan Anwar yang sanggup mempolitikkan isu pendidikan demi memburukkan imej kerajaan terdahulu.

"Kalau lihat (pada kenyataan Fadhlina), 14,858 calon tidak menduduki SPM dan begitulah laporan media lain nyatakan," katanya sambil menunjukkan beberapa laporan media.

"Bila perdana menteri menyebut 30,000, daripada mana datang data ini? Siapa tipu siapa?

"Sama ada menteri pendidikan menipu perdana menteri atau perdana menteri bercakap sendiri tanpa merujuk fakta.”

Terdahulu, Radzi menunjukkan video berdurasi 47 saat yang memaparkan Anwar menjawab soalan seorang pelajar pada Program Cakna Madani PM di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Selain menyebut 30,000 pelajar tidak menduduki SPM, Anwar turut mempersoalkan mengapa menteri pendidikan ketika itu tidak memantau situasi berkenaan sebelum menyatakan ia kemudiannya dibongkar oleh Fadhlina.

Bagi menjawab perkara itu, Radzi meminta Anwar merujuk kepada tarikh peperiksaan SPM yang mana ia berlangsung bermula 20 Februari hingga 15 Mac lalu yang mana tempoh masa ini adalah selepas kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran.

"Kalau ya pun dia nak kenakan saya, semaklah fakta dulu. Peperiksaan ini berlaku selepas waktu saya.

“Jadi, bagaimana saya nak pantau? Dia patut tanya menteri pada waktu itu iaitu Fadhlina yang juga daripada PKR" kata Radzi.

Mengulas lanjut, Radzi turut menunjukkan kenyataan daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia yang disiarkan pada 16 Jun 2022 yang mana Kementerian Pendidikan pada waktu itu sudah nyatakan calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan ialah seramai 10,861.

Pada masa sama, Radzi turut menafikan dakwaan Anwar kononnya Kementerian Pendidikan sebelum ini tidak mengambil peduli mengenai masalah pelajar apabila pihak guru sendiri akan menghubungi pelajar dan bertanyakan keadaan mereka.

"Buat apa saya nak politikkan pendidikan? Pendirian saya jelas bahawa saya tidak akan politikkan pendidikan.

"Sebab itu perkara ini tidak masuk dalam kempen, tetapi sewaktu di kementerian, kita usahakan yang terbaik untuk memastikan anak-anak kita di sekolah mendapatkan yang terbaik," tegas Radzi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.