- Iklan -
Berita

Lebih 86,000 tan metrik sampah ditarik keluar dari Sungai Klang sejak 2016

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kualiti air juga bertambah baik manakala masalah bau semakin berkurangan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah mesin pengutip sampah di sepanjang Sungai Klang.
Sebuah mesin pengutip sampah di sepanjang Sungai Klang.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata jumlah sampah yang dikeluarkan dari Sungai Klang sejak 2016 terus mencatatkan penurunan manakala tahap kualiti air di sungai itu berjaya ditingkatkan. 

Beliau berkata kualiti air Sungai Klang, yang sebelum ini di kelas empat dan lima, kini mencapai kelas tiga serta mencecah kelas pertama pada musim hujan manakala masalah bau juga semakin berkurangan. 

“Penggunaan dua jentera pembersihan sungai (Interceptor) sejak 2019 dilihat sangat memberangsangkan dalam 'menangkap' sampah sarap terutama plastik dan ini menunjukkan kejayaan pencapaian kerajaan negeri iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau (MBI) dan syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB)," katanya kepada pemberita selepas melawat taman paya bakau Mangrove Point di Pelabuhan Klang semalam.

Terdahulu, Nik Nazmi menyaksikan majlis menandatangani kolaborasi di antara LLSB dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei.

LLSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG), sampah terapung seberat 86,021 tan metrik atau bersamaan berat 470 pesawat Boeing 747 telah ditarik keluar dari sungai itu.

"Pengurangan pengeluaran sampah tahunan sebanyak 63% antara 2016 dan 2022 melepasi petunjuk prestasi utama Fasa 1 yang meletakkan sasaran pengurangan sebanyak 40 peratus. 

"Pada tahun lepas, projek itu menyaksikan pengeluaran 6,117 tan metrik sampah terapung sebulan berbanding garis dasar pada 2016 sebanyak 16,408 tan metrik sebulan," katanya.